Pernah ada rasa benci dengan diri sendiri?

Rasa terlalu hina dengan dosa yang ada. Jijik, malah busuk. Jika mampu, mahu mengeluarkan mata yang ada kerana dosa-dosa yang pernah dibuat. Menukarkan lidah. Semua. Mahu menggantikan semuanya dengan yang baru.

Tidak mahu menjadi diri sendiri. Rasa seperti mahu kembali semula ke permulaan. Awal-awal dahulu ketika masih suci tiada dosa.

“Alangkah indahnya jika aku hanya menjadi daun..”

Seakan neraka dan julangan marak apinya sudah di tepi.

Maka di saat itu, berubahlah. Bertaubatlah.

Dari tahi kepada emas.

Kamu ada satu gelas, gelas kaca. Di dalamnya penuh dengan tahi manusia. Amat menggelikan. Ya Allah, amat menjijikkan.

Likat dan berlendir. Busuk yang amat. Penuh satu cawan.

Itulah kamu, saya yang berdosa.

“Kecuali orang yang bertaubat, dan beriman, serta mengerjakan amal yang baik. Maka orang-orang itulah, yang Allah akan gantikan kejahatan mereka dengan kebaikan. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

-Al-Furqan.

Maka sekarang kamu bertaubat. Tahi yang dahulunya busuk memenuhi cawan dan menggelikan. Allah gantikan dengan emas yang bersinar-sinar. Emas yang menarik semua orang ke arah kamu. Emas yang bila dipandang, takjub kagum membekukan masa. Cantik.

Itulah kamu yang baru. Juga saya yang baru.

Tahi yang kamu punya, bertukar menjadi emas. Keburukan yang kamu ada, bertukar menjadi kebaikan.

Benar, perumpamaan yang menjijikkan. Tak mengapa, dosa memang begitu.

Dari gelita kepada pelita.

Dari lelaki tholeh, berubahlah menjadi soleh.

Dari wanita tholehah, berubahlah menjadi wanita solehah.

Seandainya dosa kamu segunung, segunung itulah Allah akan gantikan dengan kebaikan.

Kamu beriman. Kamu bertaubat. Kamu beramallah dengan amalan yang soleh. Dosa-dosa yang kita pernah ada, Allah gantikan dengan pahala. Bukankah kita sudah menjadi baru?

Seandainya dosa kamu segunung, segunung itulah Allah akan gantikan dengan kebaikan.

Mari cuci hati kita. Hati kamu, hati saya juga.

Dengan 2 perkara yang Rasulullah s.a.w. kata.

“Sesungguhnya hati-hati ini akan berkarat sebagaimana besi berkarat apabila terkena air.”

Beliau lalu ditanya, “Ya Rasulullah, apakah penggilapnya?”

Rasulullah bersabda, “Banyak ingatkan maut dan membaca Al-Quran.”-Riwayat Baihaqi.

Ingatkan diri kamu tentang mati, sebelum Allah yang ingatkan.

Di waktu malam yang hening, di waktu alam juga seperti sudah lelap dibuai mimpi. Sewaktu keseorangan.Fikirkan semua dosa yang kita lakukan. Adakah, jika saat ini. Malaikat maut hadir, datang menjemput. Kita mampu untuk pergi dengan baik?

Sunyi dan sendiri.

Beginilah waktu kita dalam qubur nanti. Sendirian lansung tanpa teman. Gelap malah.

Cuba rasai.

Kerana mati itu kita tak tahu bila. Kerana mati itu tiba-tiba. Kerana mati itu sememangnya bukan dalam pengetahuan kita.

Cuba jiwai dalam hati.

InsyaAllah, selepas ni kita akan lebih bersedia. Bersedia dengan segala amalan. Membayar segala hutang. Dengan manusia. Dengan Allah, apatah lagi.

Seandainya kamu diberi masa 3 hari dari saat yang kamu baca ini. Dan kamu akan mati. Adakah kamu sudah bersedia?

Senantiasa peringatkan diri kita tentang mati ini. Mati yang memberhentikan segala kenikmatan dunia. Penghujung cerita indah kamu di dunia ini.

Ingatkan diri kamu, jangan bertangguh.Sebelum Allah yang ingatkan. Bila pula Allah akan ingatkan? Bila Allah memberi tanda-tanda kematian kepada kamu. 100 hari, 40 hari, 7 hari, 3 hari, dan sehari. Atau peringatan yang seumpama dengan tandanya.

Seakan dunia ini sepi ketika itu, walau terpasang cahaya. Walau luas seluas mata.

Takut sangat. Saya pernah rasa. Ada masa nanti, insyaAllah, di post lain saya cerita.

by omaQ.org & Red Frame…

Bacalah quran, dia menemanimu.

Sewaktu kamu dikafankan, seorang lelaki tampan akan menemanimu. Hingga di dalam kubur. Di saat Malaikat memintanya berundur. Katanya..

“Aku akan menemaninya hingga aku pastikan dia masuk ke syurga..”

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda :

‘Bila seseorang lelaki itu mati dan saudaranya sibuk dengan pengebumiannya, berdiri lelaki yang betul-betul kacak di bahagian kepalanya. Bila mayatnya dikapan, lelaki itu berada di antara kain kapan dan si mati.

Selepas pengebumian, semua orang pulang ke rumah, 2 malaikat Mungkar dan Nakir, datang dalam kubur dan cuba memisahkan lelaki kacak ini supaya mereka boleh menyoal lelaki yang telah meninggal itu seorang diri mengenai ketaatannya kepada Allah. Tapi lelaki kacak itu berkata,

Dia adalah temanku, dia adalah kawanku. Aku takkan meninggalkannya seorang diri walau apa pun. Jika kamu ditetapkan untuk menyoal, lakukanlah tugasmu. Aku tidak boleh meninggalkannya sehingga aku dapati dia dimasukkan ke dalam Syurga.’

Selepas itu dia berpaling pada temannya yang meninggal dan berkata,’Aku adalah Al-Quran, yang mana kamu membacanya, kadang-kadang dengan suara yang nyaring dan kadang-kadang dengan suara yang perlahan. Jangan bimbang. Selepas soal siasat dari Mungkar dan Nakir, kamu tidak akan bersedih.’

Selepas soal siasat selesai, lelaki kacak mengatur untuknya daripada Al-Mala’ul A’laa (malaikat dalam Syurga) tempat tidur dari sutera yang dipenuhi bauan kesturi

Rasulullah (Sallallahu alaihi wasallam) bersabda :

‘Di hari pengadilan, di hadapan Allah, tiada syafaat yang lebih baik darjatnya daripada Quran, mahupun dari nabi atau malaikat.”

Itulah quran, yang selalu kamu baca sewaktu dirimu hidup. Kini, saat kamu kesepian, dia pula akan menemanimu.

Usahakan atasnya, istimahkan padanya, banyakkan bersamanya.

Disiplinkan dirimu atas al-quran.

Contohnya, denda.

Wajibkan baca al-quran pada diri kita sendiri satu muka setiap kali selepas solat. Dan kita denda diri kita jika tak laksanakan.

“Sekali aku tertinggal satu muka, aku akan belanja kawan aku 50 sen”

InsyaAllah, dalam 3 minit pun tak sampai. Dan dengan denda itu, kita mampu untuk lebih tegas terhadap diri sendiri. Kamu cubalah. Sama-sama kita cuba. InsyaAllah, kamu akan rasa nikmat ketenangannya di sini nanti.

Dan nanti, saat lelaki tampan itu menemanimu di qubur nan gelita seorang diri.

Mencari nilai taubat, ianya di hati.

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

“Semua anak-anak Adam itu berdosa dan orang-orang berdosa yang terbaik adalah orang yang bertaubat”.

Mari banyakkan beristighfar. Kerana Rasulullah juga bertaubat 100 kali sehari. Apalah dosa yang ada pada seorang rasul?

Dan, apa pula dosa yang ada pada kita? Astaghfirullah.

Tinggalkan maksiat, pohon keampunan Allah, tekad dalam hati.

“Aku janji, tidak akan ulangi maksiat ini lagi. Sampai mati. Dan insyaAllah, aku akan terus menjadi lelaki soleh insyaAllah.. ”

Dunia hanya sementara. Haraplah yang di sana, yang kekal abadi selama-lamanya…

Tanta Scan,Tanta

Brought to you by : shattirs