Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Monday, May 10, 2010

Al-Bughah

Oleh : Us Azrul Zabidi ~

Apakah dia al-Bughah? Perkataan ini pertama kali didengar saya semasa sidang parlimen Malaysia. Ketika Almarhum Al-Ustadz Fadhil Noor Rahimahullah selaku ketua pembangkang menempelak pihak kerajaan yang ‘membangunkan fitnah yang sedang tidur’ berhubung Tragedi Memali, 1985.

Ketika itu RTM dibawah Menteri Penerangan, Dato’ Zainudin Maidin menyiarkan klip video fitnah berbentuk dokumentari pendek, kononnya betapa ‘ganas’ dan ‘sesat’ para syuhada’ Memali sehingga membawa kepada pertumpahan darah. Adakah penduduk Memali ketika itu khasnya para syuhada’ dikira al-Bughah? Sedangkan mereka cuba menghalang As-Syahid Ustadz Ibrahim Libya daripada ditangkap dan dihumban ke dalam kandang ISA?

Dalam perundangan Islam, apabila merujuk kitab fekah, al-Bughah ini dirujuk sebagai pemberontak ataupun penceroboh malah penderhaka. Namun ia adalah seperti yang digariskan Allah, (bukan RTM) dalam ayat 9 Surah Al-Hujurat berhubung hukumnya:

hujurat 9

Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.”

Dalam As-Sunnah juga terdapat beberapa hadis sahih tentang al-Bughah. Antaranya ialah daripada `Ubadah bin al-Somit beliau berkata,

Kami telah membai`ah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Takrifan Ulama Mengenai Al-Bughah

1. Mazhab Hanafi mentafrifkan al-Bughah sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)’ (Hasyiyah Ibn `Abidin & Syarhu Fath al-Qadir)

2. Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai ‘sekumpulan orang Islam yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana pemimpin itu telah melakukan kesalahan.’ (Syarhu al-Zurqani)

3. Al-Bughah pada mazhab Syafie pula bermaksud ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ (Nihayah al-Muhtaj)

4. Manakala mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan yang patut (ta’wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua.’ (Asna al-Matolib)

5. Menurut mazhab al-Zahiri pula, ‘menentang pemimpin yang sah atas alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.’ (al-Muhalla)

6. Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai ‘orang yang berpegang bahawa pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada kekuatan senjata.’ (al-Rawdh al-Nadhir)

Dr. Abdul Qadir `Awdah berkata, “para ulama Islam tidak sekata dalam membuat takrifan tentang al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat bahawa sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah, namun bukanlah berselisih pada rukun-rukunnya.

Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrifan yang disepakati yang meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah ‘penentangan terhadap pemerintah secara kekerasan.

Dari sini bolehlah dikeluarkan tiga rukun asasi terhadap jenayah al-Bughah iaitu

(1) menentang pemerintah

(2) penentangan secara kekerasan atau bersenjata

(3) ada niat melakukan jenayah.” (atau dalam istilah undang-undang barat disebut mens rea)

(Dr. `Awdah, al-Tasyri` al-Jinai al-Islami, 2/674)

Setelah ketiga-tiga rukun asasi ini wujud pada gerakan penentang pemerintah, barulah mereka dikira al-Bughah dan wajiblah pemerintah mencegah perbuatan mereka secara hikmah, bukan terus menahan tanpa bicara, mencedera atau membunuh mereka.

Ini berdasarkan ayat 9 Surah al-Hujurat yang tersebut di atas yang pertama sekali memerintahkan supaya diadakan perdamaian.Perdamaian ini boleh dicapai dengan pertemuan, perbincangan, muzakarah dan soal-jawab supaya semua pihak berpuas hati.

Peluang mesti diberikan secara saksama kepada kedua-dua pihak untuk menyatakan pendirian mereka kepada umum, bukan hanya satu pihak sahaja, yakni pemerintah yang boleh menggunakan kemudahan kerajaan yang pada hakikatnya merupakan hak semua rakyat yang membayar cukai seperti siaran tv dan radio, akhbar-akhbar perdana, stadium, dewan-dewan serba guna dan sebagainya.

Sekiranya kemudahan itu tidak boleh diberikan juga kepada rakyat dan pembangkang, batalkan peraturan mengutip cukai ke atas mereka dan jangan menghalang mereka untuk mewujudkan kemudahan siaran suara mereka sendiri dengan sekatan permit.

PAS sendiri pernah memohon untuk membuka siaran radio sendiri namun ditolak. Apatah lagi untuk memiliki stesen televisyen sendiri yang awal-awal lagi ditolak. Namun, Alhamdulillah, dengan perubahan zaman, media alternatif khasnya dunia internet telah menjadi saluran infromasi pilihan bagi rakyat yang berkesedaran.

Mereka ini sebenarnya golongan yang cerdik kerana tidak mudah dihina kapasiti intelektual mereka dengan penulisan dungu dan propaganda sesat lagi meloyakan oleh media arus perdana yang ada.

Kembali kepada isu kita iaitu sekiranya peluang untuk mereka bersuara secara sah disekat sedangkan itu adalah hak mereka yang wajib ditunaikan pemerintah, maka ada di kalangan mereka yang tidak mampu lagi duduk diam lalu keluar beramai-ramai di jalan raya secara aman tanpa senjata, seperti mana demonstrasi mega BERSIH dan Anti-ISA. Pada ketika itu, mereka TIDAK dikira sebagai al-Bughah dan pemerintah tidak berhak menghalang mereka untuk bersuara.

dzulfahmi

Saya yakin dan percaya sahabat saya, saudara Dzulfahmi (Ketua Pemuda PAS Bayan Baru) tidak bersenjata dan tidak berbahaya. Mengapa diperlakukan seperti penjenayah sehingga perlu 7-8 anggota polis? Atas alasan apa dia ditahan?

Apabila memberikan rakyat bersuara secara sah itu merupakan kewajipan, maka kerajaan yang tidak menunaikan kewajipan itu adalah kerajaan yang fasiq dan zalim. Mentaati pihak yang fasiq dan zalim adalah tidak wajib, bahkan rakyat wajib mencegahnya daripada terus berlaku fasiq dan zalim. Allah berfirman di dalam Al-Quran:

Jangan kamu cenderung kepada golongan yang berbuat zalim, nescaya kamu akan disambar api neraka

Adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk tidak taat dalam maksiat, kerana tiada ketaatan melainkan dalam perkara makruf….” (Dr. `Awdah, ibid, m.s. 675). Baginda Rasullulah SAW pernah bersabda:

Tiada ketaatan kepada makhluk dalam melakukan maksiat kepada Maha Pencipta yakni Allah

Tindakan aktivis Islam keluar berdemontrasi disebabkan mereka tidak diberi ruang untuk bersuara secara sah seperti pihak kerajaan dan penyokongnya miliki.

Apatah lagi apa yang mereka ingin suarakan ialah tentang ketidakadilan pemerintah dalam membuat pendakwaan di mahkamah, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan kuasa, skandal pihak atasan, dan yang terbesar sekali ialah kezaliman yang amat jahat ke atas seorang yang besar jasanya kepada negara dengan membuat tuduhan zina dan liwat tanpa saksi.

Jadi mereka adalah pejuang kebenaran, penyeru makruf pencegah mungkar, bukanlah al-Bughah, pemberontak atau penceroboh.

Sebaliknya, berdasarkan Surah al-Hujurat: 9 itu, dalam konteks pertikaian sekarang, pihak pemerintahlah yang telah memberontak dan menceroboh hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah jaminan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perlembagaan negara dan seluruh agama dunia.

Jika pemerintah telah melakukan pencerobohan, maka ayat itu menyuruh “…jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh)”.

Maka berdasarkan mesej daripada al-Quran ini, wajiblah setiap orang yang mengaku beriman dengan al-Quran menentang kumpulan yang menceroboh (iaitu pemerintah) ke atas kumpulan yang lain (rakyat yang tidak sehaluan dengan pemerintah).

Dalam kitab yang sama Dr. `Awdah berkata lagi, “Antara perkara yang disepakati oleh seluruh mazhab dalam Islam, bahawa tidak harus pemerintah memerangi al-Bughah sebelum diketahui sebab penentangan mereka. Apabila mereka mendakwa tentang kezaliman dan penyelewengan dan mereka benar dalam dakwaan itu, maka menjadi kewajipan pemerintah menghapuskan dulu kezaliman dan penyelewengan itu. Selepas itu barulah pemerintah menyeru mereka supaya kembali taat dan mereka wajib kembali taat (selepas kezaliman dan penyelewengan dihapuskan). Jika mereka enggan, maka pemerintah berhak memerangi mereka…” (ibid, m.s. 679)

Kalau demikianlah prosedur menghadapi golongan pemberontak bersenjata yang diajar oleh Islam (al-Bughah), maka tindakan aktivis Islam TIDAK SEDIKIT PUN menjadikan diri mereka sebagai al-Bughah yang harus dihapuskan oleh pemerintah.

Ini berdasarkan sebab-sebab berikut:

  1. Mereka tidak bersenjata dan tidak menentang secara kekerasan, sebaliknya hanya cuba bersuara dan ingin menyatakan kepada rakyat umum tentang pendapat mereka yang tidak mendapat tempat di arena siaran perdana.
  2. Mereka keluar untuk memberitahu rakyat akan kezaliman dan penyelewengan pemerintah.
  3. Mereka hanya mengajak rakyat menukar pemerintah secara demokrasi kerana pemerintah kini tidak mengubah kemungkaran dan maksiat walaupun setelah berpuluh tahun dinasihati.
  4. Pemerintah tidak mencuba untuk menghapuskan terlebih dahulu kezaliman dan penyelewengan yang didakwa, sebaliknya teruskan memukul, menangkap dan memenjarakan rakyat yang berhimpun untuk menentang kezaliman dan penyelewengan itu.

Maka, buat para mujahidin di luar sana, usah bimbang akan label buruk yang diberikan manusia. Sesungguhnya pandangan Allah lah yang paling utama. Jadikan contoh sejarah Tok Janggut dan lain-lain. Mereka digelar sebagai pengganas, penderhaka, pemberontak oleh penjajah. Bahkan jasa mereka juga dipinggirkan berbanding beberapa tokoh boneka penjajah yang dianggap wira dan hero kemerdekaan. Hakikatnya, mereka mahu memerdekakan negara mengikut acuan agama, bukan penjajah yang sekular!!

Shattirs : Tajuk mengenai Bughah(Pemberontak), merupakan muqarar perbahasan didalam Madah Fiqh Mazhab Syafie Tahun 4, Al-Azhar,TANTA.

Tanta Scan,Tanta

MESIR.

Brought to you by : shattirs

1 comment:

Anonymous said...

salam.sy dapat tawaran ke uni al-azhar dalam jurusan dentistry.bagaimanakah kualiti pelajar medic di sana?