Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Sunday, June 13, 2010

Muktamar PAS kali ke 56




Muktamar: Ucapan penangguhan pimpinan PAS Pusat

Sumber : Harakahdaily

PENGKALAN CHEPA, 13 Jun: Ucapan penangguhan dimulakan oleh AJK PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

3.40 petang: Muktamar PAS ke-56 diakhiri dengan bacaan doa oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Haron Din.

2.40 petang: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penggulungannya optimis PAS dan Pakatan Rakyat dapat menawan Putrajaya.

"Ke Putrajaya InsyaAllah, membawa kemenangan. Orang kata kita bermimpi, tapi kita bermimpi yang soleh", katanya.

2.30 petang: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan Tahalluf Siyasi yang diamalkan PAS sudah dilaksanakan pada zaman Rasulullah s.a.w.

Beliau membawa perwakilan menyoroti sirah Rasulullah yang mana Rasulullah sendiri mengalami kesukaran di peringkat awal untuk bekerjasama dengan bukan Islam namun baginda meneruskannya juga demi memastikan Islam dapat ditegakkan.

Beliau juga berkata Umno Barisan Nasional sengaja memisahkan agama dan politik.

"Kita nak selaraskan kerja di masjid dan di luar masjid. Kita bawa politik untuk seluruh masyarakat".

Turut diingatkan beliau agar perwakilan tidak menggunakan perkataan yang boleh menyakitkan hati orang lain.

"Nak suka-suka boleh tapi jangan sampai sakitkan hati orang lain", katanya.

2.15 petang: Ustaz Khairudin yang mewakili semua perwakilan mengaingatkan semua perwakilan bahawa syarat kemenangan Islam adalah dengan ilmu.

Justeru beliau menyeru seluruh ahli meningkatkan ilmu pengetahuan dalam semua aspek kerana memnuntut ilmu itu adalah suatu perjuangan.

"Perjuangan kita adalah jihad, segala kerja kita adalah jihad, tidur dan bangun kita juga adalah jihad".

1.47 petang: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa memberi perhatian kepada permintaan DHPP agar PAS membantu sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Beliau juga berkata ahli parlimen PAS akan membawa isu-isu melibatkan orang bukan Islam ke Dewan Rakyat.

Beliau juga memberitahu PAS menerima jemputan daripada pihak Palestin untuk menghantar satu kapal misi kemanusiaan yang membawa bendera PAS bersama NGO lain.

1.30 petang: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali merumuskan segala persoalan yang dikemukakan para perwakilan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Kelantan yang menyediakan tempat dan segala kemudahan untuk melancarkan muktamar kali ini.

1.15 petang: Naib presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menasihatkan perwakilan agar tidak risau dengan perkembangan terbaru PAS iaitu penubuhan DHPP kerana menurutnya apa yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan Islam.

"PAS menawarkan keadilan ini kerana jaminan yang diberikan oleh Islam itu sendiri".

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para blogger yang hadir dan membuat laporan yang betul.

Beliau juga mengingatkan para blogger agar tidak menyalahgunakan blog untuk tujuan fitnah.

1.01 petang: Naib Presiden PAS, YB Salahuddin Ayub menyifatkan Pakatan Rakyat telah berjaya memberikan keyakinan kepada rakyat apabila dalam pentadbiran yang belum sampai tiga tahun, PR telah berjaya mengumumkan 25 dasar umum yang dipersetujui bersama ketiga-tiga parti iaitu PAS, PKR dan DAP.

PAS juga katanya berjaya melaksanakan cadangan yang dilontarkan pimpinan terdahulu yang sukar diterima ketika itu.

Beliau juga mengingatkan pimpinan dan ahli agar tidak melupakan prinsip utama PAS iaitu dakwah dan siasah.

"Semua keputusan yang dibuat dalam PAS dibincangkan secara berjemaah dan menunjukkan kemurnian majlis Syura dalam PAS", katanya.

12.47 tengah hari: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata PAS harus bijak mencari rakan strategik untuk bersama-sama dengan parti menentang Umno Barisan Nasional.

Beliau yakin NGO yang terdapat di Malaysia boleh bersama-sama Pakatan Rakyat dalam membawa agenda ke arah sebuah negara demokrasi.




12.40 tengah hari: Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli mengucapka terima kasih kepada seluruh ahli dan penyokong yang tidak putus-putus memberikan sumbangan kepada perjuangan PAS.

Beliau berkata tanpa sumbangan ahli dan penyokong PAS tidak mampu untuk membiayai keseluruhan kos pentadbiran.

12.30 tengah hari: Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad memberi respon kepada cadangan perwakilan yang mahu penerangan PAS diperkasakan ke kawasan pedalaman.

Beliau berkata penerangan sentiasa menyediakan risalah-risalah untuk diedarkan kepada masyarakat pedalaman termasuk tidak meninggalkan program ceramah yang merupakan program utama penerangan.

Beliau turut memberitahu penerangan pusat akan turun ke negeri-negeri bermula 24 Julai sehingga 1 Ogos untuk berjumpa dengan penerangan negeri.

12.10 tengah hari: Datuk Dr. Mahfudz Mohamed, Naib Ketua Dewan Ulama' PAS berharap lebih ramai lulusan agama menyertai dewan ulama' kerana ujarnya dewan ulama' berbeza dengan dewan pemuda dan muslimat.

"Ahli Dewan ulama' mestilah berlatar belakangkan pendidikan agama berbeza dengan pemuda dan muslimat yang secara automatik boleh menjadi ahli apabila cukup usia."

Beliau juga mengalu-alukan penyertaan ulama daripada wanita.

Beliau juga berkata dewan ulama' sedang merangka satu garis panduan kepada DHPP mengenai hukum hakam dalam Islam.

11.53 pagi: Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasruddin Hassan memberitahu pemuda Pakatan Rakyat sedang menggerakkan Gerakan Mendaftar Pengundi Baru (GEMPA) ke seluruh negeri bagi memastikan golongan muda didaftarkan sebagai pengundi.

Beliau berharap GEMPA bukan sahaja menjadi agenda pemuda tetapi harus juga dijadikan agenda parti.

Beliau juga berkata pemuda sedang menggiatkan usaha mendekati golongan belia melalui pelbagai program yang dianjurkan.

Berhubung himpunan membantah lesen judi 3 Julai ini, beliau menyeru seluruh ahli turun bersama-sama menyatakan sokongan.

"Kalau dewan ulama' dan dewan muslimat telah menyatakan kesediaan maka kami pemuda menyeru seluruh ahli agar turun bersama-sama menyatakan bantahan.




11.41 pagi: Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Salleh menghargai penghargaan yang diberikan semua pihak kepada gerak kerja muslimat.

Beliau menyeru ucapan dasar presiden mengenai penglibatan muslimat bersama muslimin diberikan perhatian serius.

Sehubungan itu beliau berharap para suami yang merupakan ketua keluarga membenarkan isteri masing-masing bergerak kerja dengan parti selagi tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.

11.18 pagi: Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Pengarah Pilihanraya PAS Pusat memberitahu Institut Latihan Pilihanraya PAS (ILPAS) akan dilancarkan pada 20 Jun ini bagi memberikan latihan mengenai gerak kerja pilihanraya kepada ahli.

Beliau berharap yang dipertua setiap kawasan menggerakkan jabatan pilihanraya negeri untuk menghadapi pilihanraya.

Beliau turut menekankan mengenai daftar pemilih muda yang masih belum dilaksanakan sebaik mungkin.

"Pendaftaran golongan muda mesti ditingkatkan. Jika perkara ini tidak diberi perhatian, amat sukar untuk PAS memenangi beberapa negeri", katanya.

11.16 pagi: Pengerusi Lajnah Antarabangsa, Dr Syed Azman menyerahkan hasil kutipan dana Palestin kepada presiden PAS.

10.55 pagi: Datuk Abu Bakar Chik menekankan aspek pendidikan moral masyarakat yang semakin meruncing dan harus diberi perhatian serius.

Beliau berkata PAS perlu mengambil inisiatif menangani masalah pendidikan moral masyarakat melalui khidmat runding cara.

Beliau yakin PAS di setiap kawasan dan negeri amat menitik beratkan aspek pendidikan dan akhlak masyarakat.

Mengenai DHPP pula, beliau memberitahu telah pun mengatur beberapa pertemuan dengan persatu Cina dan Tamil bagi membincangkan aspek pendidikan pelbagai kaum.

Beliau turut menggesa Lajnah Pendidikan diperkasakan di setiap negeri bagi memudahkan gerak kerja.

10.37 pagi: Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali mewakilkan Dr. Siti Mariah Mahmood untuk menyampaikan ucapannya kerana beliau tidak sihat.

Lo' Lo' dalam ucapannya menyeru skuad prihatin ditubuhkan di setiap negeri dan menjalankan gerak kerja mendekati rakyat sepanjang masa bukan hanya ketika ada pilihanraya sahaja.

Seterusnya beliau menekankan mengenai tahap kebersihan masjid dan kawasan sekitar.

Katanya, sebagai ahli gerakan Islam seharusnya aspek kebersihan dititikberatkan dalam kehidupan seharian.

10.28 pagi: Anuar Tahir dalam ucapannya memohon pimpinan semua negeri mengaktifkan kembali Lajnah Pekerja yang dilihat semakin sepi.

Ini kerana ujarnya, PAS bertanggungjawab membela nasib pekerja kerana mereka adalah aset negara.

"Pekerja adalah jantung negara dan pekerja-pekerja inilah yang memberikan sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.



10.11 pagi: Hanipa Maidin mengulas idea yang dikemukakan perwakilan Tambun untuk menyaman perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak atas isu APCO.

Beliau berkata seboleh-bolehnya PAS mengelakkan daripada berbuat demikian kerana mendakwa mahkamah Malaysia 'tidak boleh diharap'.

Menyentuh mengenai isu kezaliman zionis pula, beliau berkata kezaliman itu harus dikaitkan juga dengan Umno.

Ini kerana menurutnya, mengikut pengalaman beliau menyoal jawab pihak polis yang menjalankan tugas menahan pimpinan PAS yang terlibat dengan demonstrasi, mereka mengakui tindakan itu dilakukan atas arahan Umno BN.

Selain itu beliau turut menyeru seluruh perwakilan menjadikan muktamar sebagai medan untuk meluahkan pandangan dan mengaplikasikan prinsip kebebasan bersuara yang diperjuangkan.

9.58 pagi: Dr. Syed Azman Syed Nawawi yang merupakan pengerusi Lajnah Antarabangsa menjelaskan kepada perwakilan mengenai komitmen PAS dalam menyelesaikan konflik yang berlaku di negara luar.

Beliau berkata, PAS melalui Yayasan Amal menghantar misi kemanusiaan ke setiap wilayah yang bergolak seperti Thailand, Acheh, Mindanao dan yang sedang hangat iaitu Palestin.





9.43 pagi: Dr. Mujahid Yusof Rawa dalam ucapannya memfokuskan kepada penubuhan DHPP.

Beliau memberi jaminan bahawa segala yang akan dilakukan oleh DHPP tidak akan bercanggah dengan prinsip dan dasar parti.

"Bukan senang untuk menubuhkan DHPP ini. Perjalanannya panjang, bermula daripada kelab Penyokong PAS."

"Saya memberi jaminan bahawa apa sahaj tindakan DHPP tidak akan bercanggah dengan prinsip parti."

Beliau juga memberitahu, Lajnah Perpaduan Nasional akan turun ke setiap negeri untuk memberikan penjelasan mengenai aturan dan peratuaran DHPP.

Selain itu, taklimat juga akan diberikan kepada ahli DHPP mengenai PAS agar mereka lebih jelas.

"Kita minta PAS setiap negeri menjadi fasilitator untuk program yang kita atur ini", katanya.

9.34 pagi: AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman dalam ucapannya menjelaskan persoalan perwakilan mengenai isu Felda dan isu tanah di Sabah.

Beliau memberitahu satu NGO baru akan ditubuhkan selain ANAK iaitu Jawatankuasa Kesepakatan Bersama Peneroka.

Selain itu, beliau memaklumkan himpunan warga Felda akan diadakan di Pasir Salak pada 1 Ogos depan, sekaligus melancarkan NGO.

Mengenai isu tanah bumiputera di Sabah, beliau memaklumkan sedang mengatur satu himpunan raksasa di Sabah yang akan turut disertai presiden PAS dan penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk mendesak kerajaan negeri mengembalikan tanah mereka.

9.20 pagi: Ucapan penangguhan oleh AJK PAS Pusat, Haji Mohamad Sabu.

Beliau memberitahu BERSIH akan terus mewujudkan mood rakyat menjelang PRU-13 dengan membawa dua isu besar iaitu mengenai undi pos dan negara menuju ke arah bankrap.

"BERSIH memulakan gerak kerja dari sekarang untuk meningkatkan mood rakyat untuk menolak BN".

Beliau turut melancarkan tabung bantuan untuk membina sekolah dan masjid di Gaza dan hasil derma itu akan diserahkan oleh presiden kepada pihak Palestin.

9.08 pagi: Ucapan penangguhan oleh Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dalam ucapannya, beliau berkata PAS mengorak langkah dalam melakukan perubahan dengan menubuhkan Lajnah Seni dan Budaya PAS.

Ujarnya, lajnah berkenaan berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap PAS apabila semakin ramai penggiat seni berada dalam PAS.

"Penggiat seni dan budaya selesa dengan penampilan PAS sekarang ini. Kita ingin tonjolkan kesyumulan Islam melalui hiburan yang pelbagai".

Ujarnya juga, Penampilan PAS ini menimbulkan kegerunan dikalangan Umno Barisan Nasional.

8.50 pagi: Datuk Seri Muhammad Nizar dalam ucapannya menyeru seluruh pimpinan dan ahli PAS membuang sifat perkauman.

Ini kerana ujarnya rahsia orang bukan Islam di Perak menyokong PAS adalah kerana mereka selesa dengan sifat keterbukaan yang ditunjukkan PAS.

"Ayuh buangkan sifat perkauman kerana ia tidak ada tempat dalam perjuangan kita", katanya.

Beliau juga berkata, sokongan orang bukan Islam terhadap PAS tidak harus dipersiakan.

"Jangan tonjolkan elemen perkauman. Sokongan bukan Islam perlu dipelihara sebaik mungkin".

Brought to you by : shattirs

No comments: