Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Sunday, December 16, 2007

Keazaman Serta Keyakinan Menuju Kematian Yang Pasti



Assalamualaikum w.b.t

Lama sekali tidak menulis. Kepingin bukan kepalang untuk melepas rindu dendam dalam Diari Perjuangan. Banyak yang berlaku lewat musim ini. Alasan demi alasan tidak perlu disenaraikan dan dihujahkan. Apa yang pastinya atas kelemahan diri yang serba dhaif dalam mengurus segala haq-haq yang sepatutnya dilunaskan. Lantas hati berdegup bimbang apakah nanti bakal menerima azab Tuhan atas kecuaian diri menunaikan haq-haq yang prioriti terutamanya. Ampuni aku ya Rabb. Jika disini medannya akan aku gagahi dan akan aku teruskan jua. Azamku dengan IzinMu.



Firman Allah Taala yang bermaksud :

" Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mempercepatnya."
(Surah Al-A'raf ayat 34)


Ajalku pasti tapi tidak terlihat oleh pandanganku bilakan tibanya ia. Ajal yang Allah janjikan itu takkan tertangguh sesaat pun malah Izrail sesekali takkan alpa dalam urusannya. Sesungguhnya malaikat maut menjalankan perintah Allah SWT dengan tepat dan sempurna, dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun roh orang yang mendapat kecelakaan dan malapetaka. Jika Allah SWT menetapkan kematian seseorang ketika tertimpa kemalangan, atau ketika diserang sakit, maka pastinya Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian tersebut.

Namun ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang kaya yang sedang hidup mewah dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada waktunya tanpa mengira kita sedang ketawa riang atau mengerang kesakitan. Bila ajal telah tiba, maka kematian itu tidak akan tertangguh walau hanya sesaat. Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut senantiasa berada di sekeliling manusia, mengenalpasti memerhatikan orang-orang yang hayatnya sudah tamat. Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahwa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

" Bahawa malaikat maut meperhatikan wajah manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang gelak-ketawa. Maka berkata Izrail : Alangkah herannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berhura-hura dan bergelak-tawa."


Betapa seringnya malaikat maut melihat dan menatap wajah seseorang, iaitu sebanyak 70 kali dalam masa 24 jam. Andai kata kita manusia sedar hakikat tersebut, nescaya kita tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, atas sebab itu manusia tidak sesekali menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail atas Kuasa Allah.

Justeru itu, tidak hairanlah, jika ramai manusia yang masih mampu bersenang-lenang dan bergelak-tawa, seolah-olah dia tidak ada masalah yang perlu difikirkan dan direnungkan dalam hidupnya. Walaupun dia adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak memiliki secuil bekal amalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula melakukan dosa. Moga diri ini sentiasa beringat untuk mempertingkatkan amal dalam bulan Zulhijjah yang telah kunjung tiba ini kerana belum pasti diri akan ketemu bulan ini seterusnya sedangkan ajal itu sangat pasti akan menjemput bila tiba waktunya.

...:Salam AidulAdha 1428H dari Shattirs:...

Brought to you by:shattirs

No comments: