Sunday, May 4, 2008
Edisi Tazkirah Bulanan Shattirs
.:: Wawasan 2020::.
Kalau dibanding antara Islam yang ada di bumi umat Islam dan Islam yang berada di bumi orang bukan Islam majoritinya seperti di sebahagian negara Eropah, kita akan dapat lihat seolah-olah Islam memang wujud dalam segenap aspek kehidupan seperti kebersihan persekitaran, tandas awam, peraturan jalan raya yang dipatuhi undang-undang dan sebagainya, di mana yang mengamalkannya adalah mereka yang bukan beragama Islam.
Tetapi apabila kita menjenguk beberapa negara umat Islam khususnya di timur tengah, kita akan dapati seolah-olah kehidupan secara Islam telah lama mati angkara pemerintah yang kurang prihatin terhadap persoalan tersebut, atau dengan perkataan lain mereka tidak bersungguh-sungguh untuk melihat Islam itu memerintah negara.
Segala ideologi dan pemikiran Barat dijadikan rujukan utama negara, dan memperjuangkannya sampai ke peringkat akar umbi. Hal ini begitu ketara sehingga aspek pendidikan, politik, sosial, ekonomi dan sebagainya tidak dipadankan dengan tuntutan agama Islam.
.::Tamadun Mesir::.
Umat Islam hari ini amat berbangga dengan menonjolkan identiti diri dengan kehidupan ala barat dalam segenap aktiviti hidup mereka.
Pengasingan cara hidup orang Islam daripada Islam adalah salah satu faktor lahirnya insan-insan yang sumbang gerak-lakunya , ini adalah kerana pengajaran Islam bukanlah menjadi faktor utama hidup mereka.
Setiap anak sejak dilahirkan, ibu bapanya mempertaruhkan nasibnya kepada Allah selaku Pencipta supaya anaknya selamat, ini dapat dilihat dari pelaksanaan syariat azan dan iqomat pada kedua-dua telinga anak, bertujuan supaya si anak itu mempunyai hubungan dengan Tuhannya.
Tidak cukup dengan itu, Islam mengajar kita supaya memahami konsep ibadat solat serta falsafah pelaksanaanya, bermula dengan surah al-Fatehah yang menjadi rukun dalam solat, ia mempunyai mesej tersendiri untuk melahirkan insan muslim yang hanya takut kepada Allah SWT.
Tetapi apabila dirujuk kepada kehidupan orang Islam hari ini, menggambarkan bahawa mereka bagaikan tiada hubungan dengan Islam pada sebahagian tuntutannya.
Apa yang pernah ditegah oleh nabi s.a.w 1429 tahun yang lalu muncul kembali, lelaki muslim berpakaian seperti wanita, sebaliknya wanita muslimah bagaikan lelaki dan banyak lagi, menggambarkan realiti umat Islam yang tidak boleh menjadi contoh kepada yang lain. Fenomena ini berlanjutan dan memberi kesan negatif kepada semua pihak, samada peringkat golongan pemerintah, karyawan, pekerja, ibu-bapa, golongan pelajar dan sebagainya. Jelas sekali kehidupan secara tidak Islam telah menguasai cara bertutur, berfikir, berkomunikasi, berpolitik, berkeluarga, berumah-tangga, berekonomi dan banyak lagi termasuklah bidang hiburan yang mendapat tempat dalam masyarakat.
Aspek hiburan yang sudah banyak lari konsepnya dari apa yang diketengahkan oleh Islam, ianya tidak ditegur oleh pihak berkuasa khususnya pada "dress code" para artis. Gambar-gambar mereka yang mendedahkan aurat memenuhi ruang akhbar, gambar kulit majalah, tv dan sebagainya tanpa segan silu, mereka dianggap idola oleh sesetengah pihak.
Kadang-kadang gelagat mereka memperlihatkan kecetekan ilmu agama yang tidak sepatutnya ditonjolkan buat tatapan umum. Ini dapat dilihat dalam persembahan para artis menerusi konsert yang sekali dipandang menyerupai artis-artis barat iaitu dari segi pakaian, watak dan sebagainya yang tidak melambangkan insan yang bertamadun.
Sekiranya hal ini berpanjangan, dikhuatiri masyarakat bukan Islam menilai bahawa Islam juga membenarkan umatnya berhibur secara keterlaluan, dan secara tidak langsung menyumbang kepada tidak minat mereka kepada Islam, kerana tidak ada perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam.
Justeru pihak berkuasa mestilah memainkan peranan penting bagi memastikan agar anak-anak muda yang menceburi bidang hiburan ini diasah dengan kefahaman Islam yang betul, supaya matlamat hidup mereka menepati tujuan asal penciptaan mereka.
Apabila Islam dijadikan sandaran hidup setiap muslim dengan segala kesungguhan, pasti bumi yang dipijak ini akan menaungi manusia dengan hukuman yang seadil-adilnya.
shattirs : Mari Membangun Bersama Islam..InsyaAllah Selamat Dunia dan Akhirat.
~ Ujian Imtihan ~
PEPERIKSAAN di Tanta dijangka akan berlangsung pada 17 Mei ini. Bagaimana pula dengan persediaan? Takut rasanya hendak memberikan jawapan jika dilihat kepada persedian yang dilakukan. Walaubagaimanapun, saya suka untuk memegang kata-kata Ust Kamal ( Pengetua sekolah lama), " Selagi kita belum masuk ke dalam dewan peperiksaan, selagi itulah kita berpeluang untuk menelaah pelajaran."
Erti kecemerlangan
Dari perpektif kemanusiaan, cemerlang bermakna mencapai satu tahap yang tinggi dan memuaskan. Misalnya, mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Berbeza sedikit definisinya dalam konteks agama Islam. Islam melihat cemerlang bukan sekadar berjaya dalam sesuatu bidang tertentu. Contohnya peperiksaan, pekerjaan dan sebagainya, Islam melihat lebih jauh daripada itu. Kecemerlangan yang sebenar ialah cemerlang dalam semua aspek kehidupan manusia beragama. Jika kita cemerlang dalam peperiksaan, semestinya kita juga cemerlang dalam aspek ibadahnya, akhlaknya, dan lain-lain lagi. Pendek kata, kecemerlangan dalam Islam ialah menuju kepada kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Kenapa Cemerlang?
Islam agama yang cemerlang. Umat Islam dalam al-Quran disebut sebagai خير أمة (umat yang cemerlang). Justeru, kita perlu buktikan bahawa agama Islam adalah suatu yang cemerlang yang terdapat pada umatnya. Islam amat mengutamakan kecemerlangan dalam pelbagai aspek kehidupan terutama dalam mendapatkan kejayaan hidup seperti peperiksaan. Ia amat juga berkaitan rapat dengan kehidupan seorang pelajar. Cuba renungkan hadis ini, sabda Rasulullah SAW yang berbunyi: Sesiapa yang membunuh kutu pada tindasan pertama, maka akan ditulis baginya seratus kebaikan. Sedangkan tindasan kedua di bawah tingkatan itu dan tindasan ketiga di bawahnya lagi (riwayat Muslim daripada Abu Hurairah r.a). Ia membawa maksud, dalam kita melakukan sesuatu kerja, lakukanlah ia dengan cara yang paling baik hatta membunuh kutu sekalipun. Dalam konteks sebagai seorang pelajar, sewajarnya kita mempersembahkan sesuatu yang terbaik, misalnya dalam peperiksaan. Yusuf al-Qardhawi, dalam bukunya Fiqh Awlawiyyat (Memahami Keutamaan), mengatakan, untuk mendapatkan kejayaan cemerlang, manusia mest tahu prioriti dalam hidup. Mana satukah yang perlu diberikan perhatian dahulu dalam kehidupan seharian. Dalam Islam, perkara ini amat penting. Jika kita tersalah prioriti, kita akan menemui kegagalan dalam hidup. Misalnya, menumpu yang sunat dahulu daripada yang wajib.
Contoh lebih jelas kepada pelajar, menuntut ilmu itu adalah wajib, justeru, ambil peluang ini untuk menimba ilmu dengan bersungguh-sungguh. Lupakan dahulu soal cinta, pergaulan tanpa batas, membuang masa melepak dan lain-lain aktiviti yang mungkin tidak mendatangkan faedah. Para pelajar seharusnya menumpukan sepenuh perhatian dalam proses pembelajaran di alam persekolahan. Alam persekolahan merupakan masa yang amat penting sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kejayaan seterusnya. Gagal di alam persekolahan bermakna, kita gagal untuk mendapatkan tempat ke institusi pengajian tinggi. Ini bukan bermakna mereka yang gagal dalam alam persekolahan akan menemui kegagalan dalam hidup, tetapi yang dimaksudkan ialah kebiasaannya mereka yang berjaya menjejaki institusi pengajian tinggi, peluangnya untuk berjaya lebih cerah berbanding mereka yang tidak berjaya. Justeru, peluang sebagai pelajar perlu direbut dengan belajar bersungguh-sungguh.
Ilmu Teras Kecemerlangan
Ilmu adalah teras kepada kecemerlangan. Menurut kamus Dewan, ilmu adalah pengetahuan, kepandaian dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Lawan kepada ilmu ialah jahil atau ignorance. Ilmu diperolehi hasil dari pembelajaran dan pengalaman. Kepentingan ilmu dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang berbunyi:
Bacalah dengan (menyebut) nama TuhanMu yang menciptkan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang Mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam (surah al-Alaq ayat 1-4)
Tuntutan menuntut ilmu telah dianjurkan sejak permulaan Islam. Kata-kata tuntutlah ilmu sampai ke negeri Cina membuktikan akan pentingnya ilmu kepada manusia dan berusaha untuk mendapatkannya. Imam Malik berkata, ilmu itu tidak datang secara automatik kepada kita tetapi ia mesti dicari. Justeru, sebagai pelajar, kita mesti tanpa jemu-jemu menuntut ilmu terutama ilmu-ilmu yang diajar di kuliah dan ditambah dengan ilmu-ilmu lain yang bermanfaat. Sabda Rasulullah SAW: Barang siapa yang menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah memudahkan jalannya untuk menuju syurga.
Bahawasanya malaikat itu akan meletakkan naungan sayapnya pada orang yang menuntut ilmu itu kerana mensyukuri apa yang dilakukannya.Bahawasanya orang-orang yang berilmu pengetahuan adalah pewaris para Nabi. Bahawasanya para Nabi itu tidak mewariskan wang dirham atau dinar, tetapi yang diwasiatkannya adalah ilmu. Oleh sebab itu barang siapa yang mengambilnya (mendapatkan ilmu itu) ia telah memperolehi bahagian pusaka yang sangat banyak – Hadis riwayat Abu Darda r.a.
Dalam beberapa hadis, ilmu pengetahuan dianggap lebih utama daripada ibadah, kerana manfaat ibadah hanya kembali kepada pelakunya sahaja sedangkan manfaat ilmu adalah untuk manusia melalui sebaran yang dilakukan. Antara hadis tersebut ialah:
#Kelebihan ilmu pengetahuan itu ialah lebih aku cintai daripada kelebihan ibadah dan agamamu yang paling baik adalah warak – Hadis riwayat al-Bazzar dan Thabrani
#Kelebihan orang yang berilmu berbanding dengan orang yang beribadah ialah bagaikan kelebihan bulan purnama berbanding dengan seluruh bintang bergemerlapan – Hadis riwayat Abu Nu’aim
#Kelebihan ilmu akan bertambah lagi apabila orang yang berilmu itu berkeinginan untuk mengajarkannya kepada orang lain. Cuba renungi Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya Allah SWT dan para malaikatNya, serta penghuni langit dan bumi hingga semut yang ada pada lubangnya dan ikan yu yang ada di lautan akan membacakan selawat atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia – Hadis riwayat at-Tirmidzi.
Oleh kerana ilmu ini amat penting sebagai teras kecemerlangan individu dan umat Islam, maka adalah menjadi kewajipan kepada para pelajar mempelajarinya sama ada melalui pembacaan, perbincangan, pengamatan dan lain-lain lagi. Seterusnya berusaha untuk mengamalkannya seperti kata pepatah Arab, Ilmu tanpa direalisasikan atau dilaksanakan ibarat pokok tanpa buah.
Persediaan Menuju Kecemerlangan
Setelah kita mengetahui akan peri pentingnya ilmu, maka seterusnya kita akan berbicara pula soal ilmu dan kaitannya dengan kecemerlangan akhlak dan peperiksaan yang menjadi matlamat setiap pelajar. Persediaan untuk ke arah itu perlulah cenderung kepada mendapat keredhaan daripada Allah S.W.T, barulah kita mampu mendapat kesinambungan yang memuaskan. Lapang jiwa, tenang fikiran dan senang hati untuk bertindak.
Demam Peperiksaan
Ada yang terpaksa bersengkang mata, berjaga malam sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Tidak kurang yang mengambil sikap tak kisah atau acuh tak acuh. Sebagai pelajar yang ingin mendapatkan kecemerlangan, sudah tentu kita perlu bersikap proaktif dan sentiasa bersedia. Walaupun peperiksaan sudah semakin hampir, masih tidak terlambat lagi untuk kita membuat persediaan bagi mencapai cemerlangan. Antara persediaannya ialah:
Persediaan Rohani
Sebagai pelajar yang percaya bahawa Islam adalah agama yang terbaik, sudah tentu persediaan kerohanian tidak dapat dipisahkan dari hidup kita. Persediaan rohani adalah proses menuju ketenangan dalam hidup. Kehidupan yang tenang akan melahirkan jiwa yang tenang jua. Perlu diingat, Allah akan sentiasa menolong hambanya yang tidak lupa kepadaNya sebagaimana firmannya:
Kerana itu ingatilah kepadaKu, nescaya Aku ingat kepada kamu – surah al-Baqarah ayat 152.
Jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang. Selalulah berdoa kepada Allah SWT, agar mendapat kejayaan di dalam peperiksaan. Sebenarnya sembahyang dan doa adalah suatu lambang kekuatan jiwa.
Dr Brill, seorang pakar ilmu jiwa mengatakan orang yang kuat kepercayaan kepada Tuhan tidak akan menghadapi tekanan penyakit jiwa. Kata-kata beliau turut disokong oleh Dale Carnegie, juga seorang pakar ilmu jiwa. Katanya, keimanan yang mendalam dan berpegang teguh kepada ajaran agama sudah cukup untuk mengalahkan kegelisahan dan ketegangan urat saraf dan seterusnya boleh menyembuhkan penyakit.
Justeru, pelajar seharusnya tidak meninggalkan kewajipan ini. Ia berkait rapat dengan keseluruhan hidup untuk mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat. Mungkin ada yang akan bertanya, rakannya tidak pernah sembahyang tetapi mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Pelajar sekalian perlu memahami bahawa kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah tiket untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Adalah suatu perkara yang amat baik kiranya, kita cemerlang dalam peperiksaan dan pada masa yang sama cemerlang dalam soal ibadah dan akhlak. Inilah sebenarnya kecemerlangan yang diidam-idamkan.
* 5 Sifat yang perlu cuba disematkan dalam setiap individu yang mengidamkan kecemerlangan yang haqiqi:
1.Taat kepada Allah dan Rasul
2.Taat kepada ibu bapa
3.Ikut nasihat guru
4.Jaga hati kawan
5.Cemerlang mental dan emosi
Cemerlang dalam bentuk kerohanian akan membawa kepada kecemerlangan mental. Manusia yang selalu mengingati Allah, fikirannya tidak berserabut dengan pelbagai masalah. Kalau adapun masalah yang dihadapi, ia dapat dikurangkan melalui aktiviti-aktiviti seperti berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya. Mental yang cemerlang adalah mental yang dapat menerima dengan mudah apa yang dilihat, dibaca dan sebagainya. Mental yang baik memerlukan suasana yang kondusif, aman dan tenteram. Elakkan menelaah sambil mendengar radio, menonton televisyen dan pelbagai unsur yang boleh menimbulkan gangguan. Cuba elakkan pergaduhan atau perselisihan sesama rakan dan ahli keluarga ketika menjelang peperiksaan.
Suasana tegang sebegini sukar untuk ditenangkan dalam jangkamasa yang singkat. Ia kadangkala akan mengganggu emosi kita. Elakkan dari mewujudkan suasana menggelabah atau kelam kabut. Ketika musim peperiksaan, dapatkan tidur yang cukup dan bangun awal pagi dengan mengunci jam agar tidak ketinggalan bas atau lewat ke dewan peperiksaan. Suasana yang kelam kabut atau menggelabah akan meninggalkan kesan kepada minda kita. Sediakan segala kelengkapan pembelajaran dan peperiksaan. Misalnya, keperluan alat tulis. Ketika melangkah keluar rumah menuju ke kuliah, pastikan segala kelengkapan telah disediakan dengan sempurna seperti yang dikehendaki dalam peperiksaan. Sebaik-baiknya, selepas peperiksaan terus pulang ke rumah untuk membuat ulangkaji. Kurangkan masa untuk berbual-bual atau berbincang dengan rakan-rakan akan kertas-kertas soalan yang telah dijawab. Ia akan mengganggu konsentrasi dan emosi kita. Perlu diingat,kita tidak boleh mengubah jawapan yang telah dijawab, melainkan hanya doa sahaja yang dapat membantu.
Persediaan Fizikal
Teknik pembelajaran amat penting kepada setiap pelajar. Teknik yang salah, biasanya akan membawa kesan yang kurang memuaskan. Ini yang membezakan antara `study hard’ dengan `study smart’. Menghabiskan masa enam jam sehari mengulang kaji mata pelajaran bukan bermakna kita akan menjadi pelajar cemerlang. Berbanding dengan mereka yang menghabiskan masa selama tiga jam untuk mengulang kaji. Ini amat bergantung kepada cara atau teknik yang digunakan serta keserasian pelajar dan teknik pembelajaran. Perlu juga dijelaskan juga, makanan yang seimbang, memainkan peranan yang penting. Pelajar diingatkan supaya tidak makan terlalu kenyang kerana ia akan menyebabkan kita mengantuk. Banyakkan memakan buah-buahan, terutama sebelum makan nasi. Bila menjelang peperiksaan, elakkan mengambil makanan yang terlalu pedas, meminum air terlalu banyak sehingga menyebabkan kita kerap ke bilik air. Ini akan mengganggu konsentrasi untuk menjawab peperiksaan.
Istiqamah
Kecemerlangan yang disebutkan di atas memerlukan kepada istiqamah, tetap pendirian atau berkesinambungan. Amalan yang baik mesti selalu dilakukan dan tidak bermusim. Ia merupakan asas kepada kejayaan manusia. Menuntut ilmu adalah proses pembelajaran sepanjang hayat, bukan hanya pada musim peperiksaan sahaja.
Rasulullah SAW bersabda: Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang paling berkesinambungan walaupun sedikit – Hadis riwayat Muttafaq Alaih daripada Aishah.
Perbanyakkan DOA. Doa itu senjata bagi orang Mukmin.
Kesimpulan
Berjaya dalam peperiksaan, bukanlah tiket yang boleh menjamin bahawa kita akan terus berjaya, begitu juga dengan kegagalan dalam peperiksaan, bukan bermakna bahawa kita akan terus gagal dalam hidup. Semua ini bergantung kepada diri individu itu sendiri. Kejayaan sebenarnya bermula daripada kegagalan, kegagalan menjadi alat untuk mengajar kita untuk terus berjaya. Pepatah barat ada mengatakan kejayaan adalah hasil daripada 99 peratus kegagalan. Ini bukan bermakna, kita perlu gagal duhulu, baru boleh berjaya. Maksudnya di sini, jika kita boleh terus kekalkan kecemerlangan, maka terus beristiqamah untuk mengekalkannya. Ini adalah suatu yang ideal, tetapi jika sekiranya gagal, ambil iktibar dari kegagalan itu. Kembali bertikad, berazam dan berusaha. Semoga dengan itu akan berputik kejayaan yang bakal ditempuhi. Bila ada orang yang berjaya mesti ada orang yang gagal. Dengan itu, jika ditakdirkan kita mendapat rasib, ingatlah bahawa kita tidak akan terus gagal selama-lamanya. Tetapi, kita tetap akan berjaya, kalau tidakpun dari segi akademik, pastikan akhlak kita cemerlang. Cemerlang akademik, gagal dalam akhlak, sebenarnya merupakan kegagalan dalam hidup kita. Walaubagaimanapun, marilah kita bersama-sama menggembeleng tenaga, bersengkang mata selagi masa masih ada dan yang paling utama memohon bantuan daripada Allah S.W.T.
Mudah- mudahan kita semua memperoleh kejayaan yang haqiqi dan diredhai oleh Allah S.W.T.Amin..Amin..Amin.
shattirs : ~ Selamat Bermujahadah ~
Brought to you by : shattirs
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
salam.banyak informasi.
Abu rushd
http://riquelme-penawarhati.blogspot.com/
salam..
shattirs is stand for what ek?
hurm...siswa from uni al-azhar?
banyak ilmu berguna...
semoga terus success~^^
jihad fi sabilillah~
Post a Comment