Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Tuesday, July 27, 2010

Guru dibenar berpolitik



KUALA LUMPUR 27 Julai – Bermula 1 Ogos ini, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 akan dibenarkan melibatkan diri dalam politik, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.

Beliau berkata, langkah itu berlandaskan hakikat bahawa guru suatu masa dahulu memain peranan penting dalam memimpin masyarakat dalam senario politik negara.

“Masanya sudah tiba mereka dibenar aktif semula dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan pengumuman tersebut, ia membolehkan kira-kira 190,000 guru berijazah di seluruh negara terlibat dalam politik.

Bagi tujuan itu, Mohd. Sidek berkata pindaan Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Tambah beliau, tindakan sedang diambil untuk mewartakan pindaan peraturan tersebut.

Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam Kumpulan Sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik ke dalam apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dahulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan.

Di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dahulu.

‘‘Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran tidak boleh mewakilkan kuasanya untuk memberikan kelulusan bertulis itu kepada mana-mana orang lain dan apa-apa keputusan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran adalah muktamad,’’ kata Mohd. Sidek.

Beliau berkata, syarat-syarat ketat akan dikenakan agar tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan penglibatan mereka dalam politik.

Katanya, mereka yang dibenarkan terlibat dalam politik kelak hendaklah mematuhi sepenuhnya Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, termasuk batasan tugas mereka sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan dengan aktiviti dalam politik. – BERNAMA



Pelbagai pihak sokong

KUALA LUMPUR 27 Julai – Pelbagai pihak menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan semula guru aktif berpolitik yang disifatkan sesuai dengan tuntutan semasa.

Bagaimanapun pada masa sama mereka berharap guru terlibat perlu tahu membezakan antara tugas politik dengan tanggungjawab sebagai pendidik.

Tokoh akademik, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, tiada salahnya guru-guru dibenarkan aktif berpolitik kerana profesion perguruan memang sinonim dengan gerakan nasionalisme sejak dahulu.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, ilmu yang ada pada guru adalah satu pembaziran sekiranya mereka tidak diberi ruang terlibat dalam politik.

Katanya, sebagai warganegara, mereka juga mempunyai hak terlibat secara aktif dalam politik sama seperti orang lain.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad percaya keputusan kerajaan membenarkan guru siswazah Gred DG41 hingga DG48 melibatkan diri dalam politik dapat membantu memajukan negara.

Menurut beliau, ini kerana kerajaan mungkin memerlukan ahli fikir seperti para guru untuk bersama-sama memainkan peranan dan berkongsi pengetahuan demi kemajuan masa depan.

“Orang kanan dalam bidang tertentu perlu digalakkan (terlibat dalam politik) asalkan bijak membahagikan waktu supaya tidak mengorbankan organisasi yang lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

[Ulasan Shattirs ]

Secara umunya keputusan terbaru kerajaan ini ada pro kontranya,tetapi bagi saya memang keputusan yang baik dalam waktu yang tepat.Acapkali kita melihat peranan seorang guru didalam mendidik juga memberi idea untuk kepentingan bangsa dan negara memang tidak boleh dipertikaikan lagi.Maka, sewajarnya semua rakyat dan pemimpin senantiasa berfikiran positif , berfikiran terbuka serta berlapang dada.

Sumbangan mereka amat besar nilainya,tiada tandinganya jika ingin melihat sesuatu bangsa itu terus kehadapan yakni menjadi umat yang terbilang dan berwawasan.Maka sudah tiba masanya,peranan dan pandangan guru diambil kira bagi kepentingan setiap individu dan masyarakat.Hakikatnya GRED yang ditetapkan merupakan mereka yang terdiri daripada guru yang muda dan pertengahan.

Mana mungkin kematangan masyarakat didalam berpolitik tidak diselaraskan dengan keterlibatan golongan pendidik untuk kehadapan.Mudah-mudahan permulaan yang baik ini akan menghasilkan natijah yang cemerlang untuk kita semua selaku rakyat Malaysia.

Shattirs : Apa yang saya lihat kebanyakan guru-guru muda menyokong Parti Pakatan Rakyat samada didesa mahupun dikota,sedangkan itulah yang terbaik.!

Tanta Scan,Tanta

MESIR.

Brought to you by : shattirs

No comments: