"Kehidupan di zaman moden ini sememangnya menjanjikan cabaran yang besar kepada umat Islam. Umat Islam kini mudah terdedah dengan berbagai maklumat dan aliran pemikiran daripada dunia barat mahupun timur, dan ini telah menyebabkan lahirnya berbagai-bagai pendapat berbeza dalam dalam perkara-perkara ilmiah mahupun keduniaan, termasuk hal-hal hukum Islam.Apa yang merisaukan ialah sekiranya perbezaan pendapat ini jika tidak ditangani dengan sempurna, ianya mampu mendatangkan perasaan tidak senang hati di kalangan sesetengah pihak; kemudian perselisihan, bantah-membantah dan permusuhan.
Oleh yang demikian, kaum muslimin dan muslimat seharusnya mempunyai kaedah-kaedah yang matang dan efektif dalam menangani perbezaan pendapat agar ketegangan sesama umat Islam tidak timbul. Sesungguhnya ketegangan seperti ini mampu meruntuhkan kesatuan umat sebagaimana terungkainya penyapu lidi sekiranya tali pengikatnya dibuka. Keadaan ini amatlah bahaya dan mesti dielakkan. Antara kaedah-kaedah asas dalam menghadapi situasi perbezaan pendapat ialah:
1)Sekiranya terdapat beberapa pendapat yang berbeza antara dalil naqli dan dalil naqli, wujud fleksibiliti untuk memilih mana-mana pendapat yang dilontarkan asalkan ianya berlandaskan nas-nas yang sahih, dan nas-nas tersebut telahpun difahami dahulu maksudnya dengan tepat; melalui guru-guru yang terpercaya dan rujukan daripada kitab-kitab yang mahsyur. Contoh yang baik untuk kes ini adalah seperti: dibolehkan memilih sama ada untuk meletak tangan kanan di atas lengan kiri, atau di atas pergelangan tangan kiri atau di atas tapak tangan kiri semasa berdiri dalam solat. Ini kerana ada hadith yang menunjukkan Rasullullah membolehkan ketiga-ketiga cara tersebut. (Rujuk “As-Salatun Nabi”, karya Sheikh Nasir al-Din Al-Albani). Kesimpulannya, jika terjadi kes dimana kedua-dua pihak tidak boleh dipersalahkan kerana masing-masing berpegang kepada nas-nas yang sahih, pilihlah mana-mana pendapat pun. Bukankah lebih memudahkan kehidupan kita jika wujud beberapa pilihan daripada satu pilihan sahaja? *Perlu diingatkan di sini walau dalam apa jua perbahasan yang melibatkan dalil-dalil yang sahih, JANGAN sesekali menafikan dalil-dalil sahih yang dibawa pihak lain, dan PASTIKAN dalil-dalil yang digunakan untuk mengeluarkan/memilih pendapat difahami dengan setepat-tepatnya sebelum kita membawanya ke meja perbahasan.
2)Sekiranya berlaku pertentangan pendapat antara naqli dan naqli, di mana salah satu daripada dalil naqli tersebut lebih disokong oleh akal fikiran yang sihat, maka kedua-dua pendapat adalah benar dan masih difleksibelkan bagi kita untuk mengambil yang mana satu pun. Cuma kecenderungan keutamaan pendapat perlulah lebih memihak kepada pendapat yang disokong oleh dalil naqli yang lebih serasi dengan akal fikiran tadi. Contoh dalam kes ini ialah seperti: berdasarkan sebuah hadith, dibolehkan makan dan minum berdiri. Sementara itu, terdapat hadith yang menunjukkan bahawa Rasullullah s.a.w menyarankan agar makan dan minum sambil duduk, dan sebagai tambahan akal yang bersih juga lebih menyukai makan dan minum sambil duduk. (Kedua-dua hadith ini ada terdapat dalam kitab Riyadhus Salihin karya Imam Nawawi) Apa yang jelas daripada perbezaan pandangan seperti ini ialah terhasilnya satu kefahaman bahawa: “Lebih utama jika makan dan minum jika dilakukan sambil duduk kerana ianya nampak lebih sopan berbanding makan dan minum sambil berdiri. Jika keadaan tidak mengizinkan untuk makan sambil duduk, boleh sahaja makan dan minum sambil berdiri”. Kesimpulannya, kedua-dua pendapat boleh diterima dalam kes ini, cuma keutamaannya berbeza kerana kedua-keduanya tidak sama darjatnya di sisi logik akal fikiran.
3)Dalam kehidupan manusia pendapat majoriti seringkali lebih tepat dan sesuai. Oleh yang demikian walau macam mana pun rupa situasi percanggahan pendapat (dalam hal-ehwal Islam) tersebut, hendaklah diutamakan pendapat majoriti (jumhur) ulama terlebih dahulu dan lihatlah hujah yang ditampilkan atas terlontarnya pendapat tersebut. Adalah merupakan satu perbuatan yang ditegah dalam Islam untuk mengikut pendapat seseorang, selain kata-kata Rasullullah s.a.w, tanpa mengkaji sebab terhasilnya pendapat tersebut. Fenomena ini juga diketahui umum sebagai ‘taqlid’ dan orang yang melakukannya dikenali sebagai ‘muqallid’. *Sila kaji apa kata para imam, terutamanya imam-imam mazhab tentang larangan mereka dalam mengikut pendapat mereka, sekiranya ada terdapat pendapat-pendapat mereka yang tidak bertepatan dengan Al-Quran dan Sunnah. Pastinya, kenyataan-kenyataan yang telah dikeluarkan oleh imam-imam ini telah membuktikan bahawa mereka tidak mahu para pengikut pendapat mereka menjadi ta’sub terhadap pendapat-pendapat imam-imam ini. kereta’suban seperti ini boleh menyebabkan berlakunya penerimaan negatif terhadap pendapat-pendapat yang dikeluarkan oleh orang lain, meskipun pendapat-pendapat lain tersebut ternyata lebih kuat. Alangkah bagusnya tahap kesedaran yang dimiliki oleh imam-imam cerdik pandai ini, bahawa dalam mengeluarkan pendapat, tidak semestinya pendapat mereka itu 100% betul. Kata-kata para imam ini juga membuktikan mereka sangat bertoleransi dalam menerima perbezaan pendapat; mereka tidak suka untuk menunjukkan pendapat mereka betul, mereka hanya mahukan pendapat yang paling kuat tanpa mengambil kira siapakah yang mengeluarkan pendapat tersebut.
4)Sekiranya perbezaan pendapat yang berlaku tidak melibatkan hal-hal Islam secara langsung (contoh: sains, kesasteraan dan sebagainya.), maka pendapat yang lebih kuat mengikut logik perlulah diterima dengan berlapang dada walaupun pendapat tersebut mungkin bertentangan dengan pendapat kita. Perlulah diingat di sini bahawa pendapat kita tidak semestinya betul, jadi perbezaan pendapat adalah merupakan sesuatu yang sangat bermanfaat kerana ianya boleh membetulkan pandangan kita andai ia kurang tepat. Apa yang penting, individu-individu yang terlibat dalam perbezaan pendapat haruslah berfikir dengan matang, tidak berniat untuk menunjukkan hanya pendapatnya sahajalah yang betul, tidak ego, tidak beremosi (moody), penuh pertimbangan dan bertolak-ansur sepanjang berjalannya sesi perbincangan perbezaan pendapat tersebut. Dengan cara ini insyaAllah pendapat yang terbaik akan diperolehi dan sudah tentu ia akan memberi manfaat kepada semua pihak yang terlibat. Semua orang yang terlibat dalam sesi perbincangan ini tentu saja akan berasa gembira kerana kesepakatan telah tercapai.
5)Sekiranya berlaku percanggahan pendapat antara dalil naqli dan aqli, semestinya dalil naqli yang akan diterima. Akal manusia sama sekali tidak mampu menentang keunggulan hukum-hukum Allah. Dalam suatu situasi, jika diri kita suka melakukan sesuatu tetapi tiba-tiba kita dinasihati oleh seorang saudara kita yang prihatin bahawa perbuatan kita tadi tidak dibenarkan dalam Islam, maka janganlah merungut dan janganlah berkeras hati untuk menerima hakikat ini. Ingatlah bahawa Allah s.w.t. telahpun berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud: “…boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”. Sesungguhnya pengetahuan Allah itu meliputi segalanya dan tiadalah berdaya ilmu manusia untuk mempersoalkan ketetapanNya.*Dukacitanya hari ini kita telah melihat bagaimana sikap segelintir daripada kalangan kaum muslimin dan muslimat yang telah bertindak menentang hukum Allah kerana pada sangkaan mereka hukum-hukum unggul ini tidak lagi relevan pada zaman ini. Contohnya, masa kini telah berlaku penentangan terhadap Islam oleh golongan yang mengaku Islam sendiri iaitu tentang beberapa perkara seperti hukum berpoligami, kaedah pembahagian harta secara faraid, kaedah pergaulan lelaki dan perempuan, batasan aurat wanita, dan lain-lain. Golongan penentang hukum Allah ini jahil tentang Islam dan mereka telah bertindak menurut pemikiran mereka sendiri untuk mengubah hukum-hakam agama suci inii demi memuaskan keinginan duniawi mereka! Semoga Allah memberi petunjuk ke atas mereka untuk bertaubat.
6)Sekiranya tiada kesepakatan pendapat dicapai kerana kedua-dua pihak yang berbeza pendapat mempunyai hujah-hujah yang setara kuatnya, maka hal ini adalah tidak mengapa, hentikanlah perbahasan, dan masing-masing boleh terus bertahan dengan pendapat masing-masing tanpa merasa marah kepada pihak lain, atau dipersilakan untuk memilih mana-mana pendapat yang telah dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berbeza pendapat kerana pendapat-pendapat yang berbeza tersebut masing-masing setara kekuatannya (daripada segi naqli mahupun aqli). Walaubagaimanapun, hal ini jarang berlaku kerana lazimnya dalam sesi perbahasan yang sopan dan tertib, pendapat-pendapat yang berlainan tetapi sama kuat ini adalah benar sahaja kesemuanya dan kita boleh mengambil yang mana-mana pun mengikut kesukaan kita, berdasarkan konsep kaedah 1 tadi.
7)Perbezaan pendapat dalam perkara cabang adalah kurang utama berbanding perbezaan pendapat dalam perkara pokok. Pihak-pihak yang berbeza pendapat sepatutnya mengurangkan perhatian tentang perbahasan perkara-perkara cabang dan mengutamakan perbahasan dalam hal-hal pokok yang jauh lebih utama. Antara contoh kesilapan yang sering berlaku hari ini ialah umat Islam sibuk bertelagah tentang “hal ini bidaah atau tidak?”, “hal itu bidaah atau tidak?”. Sewajarnya yang lebih utama adalah umat Islam lebih memfokuskan diri terhadap menghasilkan perkara-perkara baru dalam hal-hal keduniaan untuk menghasilkan teknologi baru, bukannya sibuk mencipta perkara-perkara baru dalam ibadah (rujuk Sunnah dan Bidaah, karya Dr. Yusuf Qardawi). Ibadah-ibadah yang tidak dilakukan oleh Rasullullah tetapi dilakukan oleh golongan muslimin pada zaman ini, perlulah dielakkan daripada melakukannya kerana itu hanya akan menggalakkan lahirnya isu-isu perdebatan yang baru, dan ini akan merugikan masa dan tenaga. Sepatutnya, jika masih terdapat golongan yang masih melakukan ibadah-ibadah yang bukan termasuk daripada amalan Rasullullah, janganlah pula kita memusuhi mereka, dan janganlah dengan mudah kita menuduh hal yang demikian itu bidaah, kerana tuduhan sebegitu tidak mempunyai asas yang kukuh. Perbuatan membidaahkan orang sewenang-wenangnya dikhuatiri akan mendatangkan permusuhan dan persengketaan. Ketepikanlah permasalahan cabang sebegini duhulu. Risaukanlah mengenai hal-hal yang jauh lebih utama seperti keadaan segelintir remaja masa kini yang tidak menunaikan solat, keadaan muslimin masa kini yang selalu lalai dengan dunia, kesengsaraan umat Islam di Palestin, dan lain-lain masalah pokok umat Islam. ---------------------------------------------------------------------
Secara umumnya, kaedah-kaedah menyikapi perbezaan pendapat haruslah dikuasai sebaiknya oleh setiap individu muslim untuk membolehkan umat Islam bersatu di bawah satu fikrah yang sama. Perbezaan pendapat sebenarnya bukanlah satu masalah malah ianya mendatangkan banyak manfaat kepada kita sekiranya kita pandai menanganinya. Adalah merupakan satu pandangan yang salah untuk mengatakan bahawa dalil-dalil Al-Quran dan hadith tidak perlu digunakan dalam menangani perbezaan pendapat dalam hal-hal dunia. Ini kerana perbezaan pendapat dalam urusan dunia itu juga adalah berkenaan tentang urusan kehidupan umat Islam, dan semua hal-hal kehidupan umat Islam sudah semestinya adalah hal-hal Islam.
Kerana itu, dalam menetapkan keputusan atau pendapat dalam hal-hal dunia kaum muslimin, rujukan kepada Al-Quran dan hadith juga adalah sangat-sangat dimestikan. Kedua-dua sumber utama ini ini bukan hanya digunakan untuk memilih atau melahirkan pendapat dalam ilmu fiqh sahaja. Semoga kewujudan perbezaan-perbezaan pendapat dalam kehidupan muslimin dan muslimat masa kini tidak menjadi suatu bebanan kepada kita semua.
Apa yang paling diharapkan ialah dengan adanya kesepakatan mahupun ketidaksepakatan dalam suatu perkara yang melibatkan percanggahan pendapat, fikiran umat Islam akan semakin berkembang malah ukhwah mereka akan semakin teguh; bukannya menyebabkan perpecahan dan sikap saling cela-mencela antara satu sama lain.
Brought to you by : shattirs
sumber: www.ukhwah.com
No comments:
Post a Comment