Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Saturday, January 19, 2008

Kaedah Asy-Syaathir

Kaedah Asy-Syaathir bantu cepat baca al-Quran

Oleh W. Rahimah Draman

SUSAH untuk sebut, kenal dan ingat huruf-huruf atau sukar membaca al-Quran secara bertajwid dan bertartil? Atau anda kesuntukan masa untuk belajar al-Quran bagi menjadikan kalam Allah itu sebagai bacaan harian untuk santapan rohani?
Walaupun semua alasan itu tidak relevan bagi setiap Muslim, peluang anda mengubah diri agar pandai membaca al-Quran tetap terbuka luas selagi hayat di kandung badan.
Ini kerana membaca dan mempelajari al-Quran antara kewajipan ke atas setiap Muslim kerana kitab suci yang diturunkan Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad itu adalah untuk dibaca, dipelajari, difahami dan diamalkan sebagai cara hidup Islam seharian.
Pun begitu, al-Quran yang merupakan wahyu dan mukjizat Rasulullah s.a.w. dalam bahasa Arab yang tinggi, bukanlah perkara mudah untuk dipelajari dan difahami oleh umat yang tidak mengetahui bahasa Arab.

Tetapi tidak bermakna Muslim yang bukan Arab boleh berlepas tangan dengan alasan tidak tahu bahasa Arab. Sebabnya, bahasa Arab adalah bahasa al-Quran yang wajib dipelajari setiap Muslim untuk membaca dan mengamalkannya.
Perintah agar ummah membaca (al-Quran) bermula sebaik wahyu pertama yang diterima Rasulullah s.a.w. semasa di Gua Hira’ dengan maksud-Nya;
Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Pemurah, Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam (Allah mengajar manusia dengan perantaraan tulis baca). Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (al-‘Alaq: 1-5).

Jadi, jika kita tidak tahu atau buta al-Quran bermakna Islam kita hanyalah pada nama dan keturunan. Sebabnya ibadah solat yang menjadi tiang dalam rukun Islam wajib melafazkan ayat-ayat suci al-Quran dalam bahasa Arab.
Setiap hari kita perlu melafazkan sekurang-kurangnya 17 kali ayat-ayat dalam surah al-Fatihah sebagai rukun solat lima waktu sehari semalam yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang mukalaf.
Oleh itu menjadi tanggungjawab individu untuk belajar sekurang-kurangnya menghafal surah al-Fatihah yang mengandungi hanya tujuh ayat serta surah-surah lain.
Malah Rasulullah s.a.w. bersabda, ... Sebaik-baik kamu semua ialah orang yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. (riwayat Bukhari).
Dalam riwayat lain Baginda bersabda; Seutama-utama ibadah umatku itu ialah membaca al-Quran. (riwayat Abu Nai’m).

Sehubungan itu, Musleh Ventures Sdn. Bhd. (Musleh) sedia membantu cara cepat dan mudah mengenal atau menghafal huruf dan abjad Arab bagi memudahkan kelancaran membaca al-Quran.
Musleh sedia memberi khidmat mudah dan cepat membaca al-Quran yang tepat melalui kaedah terbaru iaitu belajar membaca Kaedah Asy-Syaathir.
Melalui kaedah ini, Musleh menyasarkan seseorang pelajar dapat membaca al-Quran dengan betul selepas mengikuti pengajian komprehensif selama 48 jam.
Ini bermakna, seseorang yang buta al-Quran, akan mampu mengenal dan membaca al-Quran apabila berjaya mengikuti pembelajaran kaedah Asy-Syaathir dengan hanya sejam sehari sebanyak 48 kali secara berterusan.

Baru-baru ini bertempat Dewan Syarahan Masjid Negara, Musleh tampil memperkenalkan kaedah belajar membaca al-Quran Asy-Syaathir kepada masyarakat awam.
Dengan kerjasama Masjid Negara, kaedah belajar cepat, mudah dan komprehensif cara Asy-Syaathir yang mula diperkenalkan oleh Musleh lebih setahun lalu itu diadakan melalui program Seminar Celik Al-Quran Kaedah Asy-Syaathir.
Pemangku Pengarah Kanan Pendidikan Masjid Negara, Abd. Rahman Yusof ketika berucap merasmikan seminar itu berkata, belajar al-Quran adalah proses yang berterusan.
Menurutnya, apa kaedah pembelajaran sekalipun, selagi boleh memudah orang ramai tahu dan mahir membaca al-Quran, ia adalah sesuatu yang besar ganjarannya.
“Mempelajari al-Quran sama ada untuk membaiki bacaan agar menepati hukum-hukum tajwid, menghafaz atau mendalami ilmu-ilmu Kalam Allah itu adalah lebih baik daripada mengerjakan solat sunat 100 rakaat,” jelasnya.
Bagaimanapun beritahu Abd. Rahman, sebaik-baik usia untuk mempelajari al-Quran ialah ketika di peringkat lima hingga tujuh tahun.

Ini kerana, pada usia tujuh tahun seseorang Muslim itu diwajibkan mengerja solat fardu lima waktu sehari semalam.
“Berdosa ke atas ibu bapa yang ada anak tidak tahu membaca al-Quran. Bagi anak-anak yang celik al-Quran, beruntung besarlah orang tua mereka,” kata Abd. Rahman.
Mengenai membaca al-Quran Kaedah Asy-Syaathir, Pengarah Urusan Musleh, Fadzil Abdullah berkata, ia merupakan salah satu usaha menambah baik cara-cara dalam pembelajaran yang sedia ada.
“Apa yang diusahakan Musleh merupakan alternatif terkini bagi membantu mengatasi buta al-Quran dan menjadikan Kalam Allah itu sebagai bacaan hidup oleh seluruh umat Islam,” katanya.
Mengguna pendekatan Abjadiah, kaedah Asy-Syaathir yang diperkenalkan Musleh dihasilkan melalui pengalaman pengajaran dan pembelajaran guru-guru al-Quran di sekolah-sekolah rendah Islam swasta dan kerajaan serta jaringan pendidikan Musleh sendiri.

Kaedah ini kata Fadzil, sudah mula dilaksanakan di 30 sekolah agama di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Terengganu.
Katanya, walaupun kaedah itu lebih berkesan bagi peringkat kanak-kanak, tetapi cara Asy-Syaathir turut sesuai dan mudah untuk diikuti golongan dewasa bagi membolehkan mereka membaca al-Quran.

Brought to you by; shattirs

No comments: