Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Thursday, November 26, 2009

Indahnya hidup dalam Syariat ISLAM




1)Qawaid Fiqhiah : Mengapa fiqh perlu di kaedahkan?


Shattirs : Untuk kali ini saya akan menulis berkenaan subjek qawaid fiqhiyah, subjek yang menjadi antara keperluan utama penuntut ilmu syariah Tahun 4 ( akhir),khususnya di Jabatan Syariah Islamiah,Universiti Al-Azhar,Mesir

Seperti yang diketahui, fiqh terbina atas nas iaitu Al-Quran dan Assunnah. Kefahaman terhadap kedua-dua sumber inilah menghasilkan kaedah-kaedah umum seperti maslahat, qias, dan lain-lain sumber kedua fiqh. Dengan ayat Quran dan Hadith yang terlalu banyak dalam hukum-hakam agama, semua itu perlu disusun agar nampak bagaimana bentuk dan matlamat fiqh itu secara umum. Antara bentuk penyusunan fiqh adalah melalui kitab-kitab fiqh yang disusun mengikut tajuk-tajuk fiqh seperti bab taharah, bab solat hinggalah ke akhir. Ada juga ulama menyusun fiqh ini mengikut tafsir al-Quran dan ada juga mengikut hadith hukum.

Yang saya ingin bawakan disini ialah bagaimana fiqh yang sangat luas itu disusun dengan kaedah yang umum meliputi semua bidang. Inilah yang dinamakan qawaid fiqhiyah atau ada juga menamakan dhawabit fiqhiyah. Sebenarnya, Qawaid Fiqhyah itu sendiri terbina atas nas, kefahaman keatasnya dan kesimpulan daripada hukum-hakam fiqh.

Secara umumnya, Qawaid fiqhiyah ataupun kaedah fiqh ini terbahagi kepada 5 kaedah utama dan disepakati oleh semua ulama. Sebagaimana ada perbezaan dalam menerima sumber fiqh dan hukum fiqh, Kaedah fiqh juga terdapat yang disepakati dan ada yang berbeza penerimaannya.

5 kaedah tersebut ialah semua perbuatan ditentukan dengan niat, Keyakinan seseorang tidak akan dihapuskan oleh syak, kemudharatan itu perlu dihapuskan, kesukaran digantikan dengan kemudahan ( hukum ) dan adat itu penentu hukum. Mungkin terjemahan saya ini kurang tepat,namun rasanya dari sudut makna tidak lah jauh perbezaannya.

Adakah Qawaid Fiqhiyah boleh digunakan untuk berhujjah?
Sebagaimana kita menggunakan dalil Quran dan sunnah,adakah boleh berhujjahkan dengan kaedah fiqh dalam menentukan hukum. Ulama berbeza pendapat akan hal ini,namun yang rajihnya, sekiranya Kaeadah tersebut benar-benar terbina atas nas Quran ataupun hadith,maka kehujjahannya turut sama. Contohnya kaedah "bukti keatas pendakwa dan sumpah keatas yang ingkar" kaedah tersebut betul-betul sama dengan hadith nabi s.a.w dari sudut lafaz dan makna.

Selain daripada 5 kaedah utama, masih banyak lagi kaedah-kaedah fiqh yang dibentuk. Kadang-kadang kaedah ini khas untuk bab-bab tertentu dalam bidang fiqh seperti dalam bab muamalat, jenayah, politik, undang-undang dan ibadat.

Apa-apa pun mempelajari Qawaid Fiqhiyah akan dapat membantu penuntut ilmu menguasai bidang fiqh dengan cepat dan memahami bagaimana hala tuju fiqh itu.....

Rujukan :
1) Ta'sis al-Nazar - karangan al-Dabusi (430 H)
2) Qawaid Fiqhiyah (THN 4)- Prof Dr Hamid faqhi (Prof Universiti Al-Azhar,Tanta )

2) Fiqh tanpa Usul? Mustahil


Salam untuk semua..


Shattirs : Selepas mendalami subjek madkhal ila fiqh islami ataupun pengenalan fiqh islam, penuntut ilmu akan bergerak setapak lagi mempelajari ilmu usul fiqh. Mungkin ramai yang bertanya,apakah kepentingan usul fiqh sedangkan yang ingin disampaikan kepada masyarakat bukanlah kaedah-kaedah istinbat hukum ataupun cara berhadapan dengan nas-nas yang bertentangan, yang penting hanyalah hukum solat, puasa, zakat, negara islam, ziarah kubur dan lain-lain lagi.

Sebenarnya,kalaulah kita tidak mempunyai asas usul fiqh bagaimanakah kita ingin meneroka alam hukum hakam yang begitu banyak sekali? Adakah kita ingin hafal semua hukum kemudian muntahkannya apabila ditanya oleh orang awam. Bagaimanakah jika ada lebih daripada satu hukum dalam satu masalah? Mungkin yang ingin dijawab ialah ambil sahaja mazhab kita. Kalau dalam mazhab sendiri pun khilaf bagaimana? satu masalah lagi,adakah hukum difatwakan oleh ulama berkurun-kurun dahulu semuanya masih relevan pada zaman sekarang?

Fiqh bukanla sesuatu yang statik dan jumud. Tidak cukup dengan mengeluarkan hukum, mentatbiqkan ataupun mengaplikasikan hukum memerlukan kebijaksaan dan usaha ijtihad daripada kita. Mungkin sesuatu hukum itu rajih dari sudut nas, namun oleh sebab faktor uruf dan maslahat mungkin pendapat marjuh lebih sesuai.

Namun, apa yang jelas mempelajari usul fiqh akan menambahkan lagi kefahaman penuntut ilmu terutama dari sudut khilaf antara ulama. Selain itu, dapat menjadikan seseorang itu mengeluarkan hukum berdasarkan waqi', ataupun mungkin dalam situasi tertentu,seseorang itu boleh berijtihad sendiri disebabkan kaedah sudah ada, cuma mungkin pembacaan hukum daripada kitab-kitab fiqh belum menyeluruh terutama masalah-masalah terkini.

Dalam pengajian usul fiqh biasanya ada 2 bahagian.

1. Pengajian sumber-sumber fiqh dikalangan mazhab. Di sini kita akan dapati ada sumber yang disepakati oleh semua mazhab seperti Al-Quran, Assunnah dan Ijma' dan baki sumber yang lain seperti qias, istihsan, uruf, mazhab sahabat, amalan ahli madinah, syariat umat terdahulu, istishab, dan maslahat menjadi perbezaan di sisi imam mazhab. Antara sebab utamanya ada mazhab yang lebih cenderung kepada berpegang kepada zahir nas semata-mata dan ada mazhab yang melihat nas dari sudut kefahaman akal, maka penggunaan akal lebih meluas dalam menentukan hukum.


2. Pengajian dari sudut dalalah. Di sini, penuntut-penuntut akan mempelajari bagaimana ingin memahami maksud nas itu. Secara umumnya nas boleh terbahagi kepada dua iaitu:
a. Qat,yah: Nas ini sudah pun jelas dan mempunyai makna yang satu. Maka dalam hal ini tiada kefahaman lain ataupun khilaf disisi ulama. Contohnya seperti kewajipan solat, puasa, larangan zina dan memotong tangan pencuri.

b.Zonniyah : nas bentuk ini pula menghasilkan khilaf antara mazhab dari sudut hukumnya,mungkin disebabkan maknanya yang lebih daripada satu,ataupun suruhan tersebut berbentuk umum ataupun mengkin dipengaruhi oleh nas lain. Contohnya hukum menyentuh al-Quran tanpa wudu' dan menyentuh perempuan dalam keadaan wudu' adakah terbatal.

Walaubagaimanapun daripada usul fiqh kita akan dapat memahami hikmah perbezaanf dan kewujudan lebih dari satu mazhab. Kita juga akan sedar bahawa perkara yang ummat sepakat adalah perkara yang betul-betul menjaga maslahat islam dan manusia seperti larangan zina, arak, suruhan zakat dan perlaksanaan hukum jenayah islam, hudud dan Qisas. Manakala hukum yang khilaf merupakan satu khazanah hukum yang mengiktiraf perbezaan uruf dan maslahat seseorang itu dalam memilih yang paling sesuai.

Apa-apapun belajar usul fiqh dulu sebelum melangkah jauh.. semoga berjaya




3) Qadhayah Fiqhiah Muasirah : Keperluan Memahami dengan teliti


Shattirs
: Untuk meraikan permintaan saudari Nur Zahirah, saya akan menulis berkenaan subjek Qadhayah Fiqhiah Muasirah.Subjek ini juga merupakan salah satu mata pelajaran kuliah Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar,MESIR.

Subjek ini boleh dikatakan antara subjek 'senior' dalam pengajian syariah ataupun islam. Dalam bahasa melayunya bermaksud permasalahan Fiqh terkini ataupun moden. Sepatutnya penuntut-penuntut ilmu perlu menguasai subjek-subjek yang berbentuk qaedah ataupun usul fiqh agar dapat memahami bagaimana ulama terkini mengeluarkan hukum baru.

Penuntut juga perlu menguasai fiqh-fiqh yang sudah dibahaskan oleh ulama terdahulu seperti fiqh ibadat, ahwal sakhsiah ( kawen, cerai dan pusaka ), jinayah ( hudud dan Qisas ), Qada' dan fiqh muamalat. Tujuannya agar dapat memahami sesuatu masalah apabila dibandingkan dengan lama. Inilah dinamakan takyif fiqh.

Subjek ini bolehlah dibahagikan mengikut beberapa perbahasan utama :

Ijtihad zaman moden

Dalam bab ini penuntut ilmu akan diterangkan apakah itu maksud ijtihad, peranan dan kepentingannya. Namun yang paling ditekankan ialah apakah perbezaan antara ijtihad ulama dahulu dan ulama sekarang.

Perubatan Muasirah.

Dalam bab ini, kita akan mengetahui bagaimanakah kaedah ulama mengeluarkan hukum dalam masalah yang melibatkan perubatan moden seperti pembedahan pelastik, permindahan organ, klon, ibu tumpang, orang yang sudah kematian otak dan lain-lain lagi. Secara umumnya, fiqh perubatan terbina atas kaedah maslahat manusia dan mengelakkan mudharat.

Jihad Muasirah.

Dalam bab ini perbahasannya lebih berkisar hukum pengebom berani mati, penculikan untuk dijadikan tebusan dan penggunaan senjata nuklear.

Muamalat Musirah.

Bab ini menyentuh masalah insuran, perniagaan secara piramid zakat gaji dan pencen. selain itu juga akan disentuh hukum promosi dalam islam dan pertandingan untuk kempen jual beli.

kemudian ada tajuk-tajuk kecil yang dibincangkan seperti hukum alatan muzik moden, hukum berlakon, hukum makanan haiwan ( dedak ), Kawen misyar dan sembelihan yang menggunakan mesin.

Apa-apa pun nasihat saya kepada semua yang ingin mempelajari subjek ini hendaklah :

1. Mempunyai minat yang tinggi. 2. Memperbanyakkan bacaan walaupun dalam bahasa melayu. 3. Memahami sesuatu isu yang diajar.

Semoga berjaya...

MOHD HELMI BIN CHE PAUZI
TAHUN 4,KULIAH SYARIAH &UNDANG-UNDANG
UNIVERSITI AL-AZHAR,TANTA,MESIR...

Tanta Scan,TANTA.
MESIR.
5.pm

Brought to you by : shattirs

No comments: