EMINENT '10 Berjalan Lancar ~ |
Program ini bermula dengan slot Diskusi Kitab yang bertajuk Fitnah al-Takfir oleh Ustaz Salman Maskuri bagi slot tengahari. Beliau menerangkan pelbagai masalah yang berlaku di antara umat Islam sendiri pada waktu ini. Beliau juga menasihatkan supaya menjaga kesatuan yang ada dan tidak taksub kepada mana-mana kumpulan. Diakhir ucapannya beliau menegaskan kembali kepentingan perpaduan semua jamaah yang ada bukannya semakin berpecah kerana keegoan dalam melaksanakan kerja-kerja Islam.
Majlis Perasmian EMINENT '10 diadakan pada sebelah malamnya di Dewan Utama EMINENT '10. Majlis dimulakan dengan alunan ayat suci al-Quran oleh Ustaz Ibrahim Khawwas disusuli ucapan oleh pengarah program Ustaz Ibrahim bin Mansor. Turut hadir Pengerusi DPM Tanta Ustaz Dzulhilmi bin Roslan dan Timbalan Pengerusi Perubatan Cawangan Tanta Doktor Syafiq Affandi bin Baharin menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. Majlis telah dirasmikan oleh Badan Pengurus PMRAM al-Fadhil Ustaz Mohd Yazid bin Pardi selaku Badan Pendidikan Dan Komunikasi Bahasa PMRAM pada sesi ini. Dalam ucapannya beliau sempat memberi kata-kata semangat kepada hadirin pada malam tersebut dengan menyatakan empat fokus utama kewajipan pemuda Islam masa kini iaitu Memahami erti Islam itu secara syumul, beramal dengan amalan-amalan Islam, berdakwah di jalan Allah dan mengikat diri dengan perjuangan Islam. Turut diadakan pada malam tersebut perasmian bazar EMINENT '10 di tingkat bawah.
Hari kedua EMINENT '10 diteruskan lagi dengan slot bersama Bersama BP dan HEWI PMRAM. Seramai 13 orang Badan Pengurus PMRAM dan 13 orang HEWI PMRAM telah turun padang bagi menjayakan slot tersebut. Kesempatan dalam program ini bertujuan untuk mendekatkan lagi ahli DPM Tanta dengan persatuan yang menaung seluruh mahasiswa yang berada di bumi Mesir ini sejak sekian lama dalam menjaga kebajikan mahasiswa Malaysia. Program dimulakan dengan sesi ta'ruf oleh semua pimpinan. Para hadirin diberi peluang untuk mengajukan soalan bagi menjelaskan masalah-masalah yang berlaku di kalangan ahli. Pelbagai persoalan telah ditimbulkan dan semuanya terungkai selepas ianya dijawab oleh para pimpinan pada petang tersebut.
The Chosen One menjadi tajuk pilihan bagi slot malam. Tajuk tersebut bermaksud yang terpilih iaitu dalam menyampaikan dakwah. Ustaz Khairul Anuar selaku pengisi slot pada malam tersebut menceritakan sirah Nabi Muhammad S.A.W dalam menyampaikan dakwah kepada umat pada awal kedatangan Islam dan pelbagai cabaran terpaksa dilalui oleh Baginda S.A.W yang perlu diambil pengajaran dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.
Hari ketiga EMINENT '10 ahli tanta berpeluang bersama pimpinan dari Malaysia iaitu YB Idham Lim Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong bersama rombongan. Dalam program tersebut beliau menerangkan situasi di Malaysia ketika ini dengan pelbagai permasalahan yang berlaku. Para hadirin juga berkesempatan bertanya persoalan yang kurang jelas mengenai masalah yang berlaku khususnya di Perak. Diakhir ucapannya beliau berharap mahasiswa di bumi Mesir ini dapat menjadi penggerak utama dalam memperjuangkan Islam di tanah akhir setelah pulang nanti dan tidak lari dari menjalankan amanah Allah ini.
Pada sebelah malamnya Dewan EMINENT '10 dipenuhi dengan kehadiran ahli yang ramai. Slot yang diminati ramai ini sering menjadi penyeri program sebegini. Seramai tiga orang panel dan seorang pengerusi dari pelajar perubatan berjaya menyerikan keadaan pada malam itu. Pelbagai nasihat dan panduan dalam memilih pasangan berlandaskan Islam telah diterangkan. Para hadirin digalakkan menggunakan Unit Bait Muslim untuk mencari pasangan bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Hari keempat EMINENT '10 para hadirin disajikan dengan slot perubatan yang bertajuk "kehebatan pakar perubatan silam". Doktor Farhan bin Mahabot pelajar perubatan dari Iskandariah telah membentangkan tajuk berkenaan. Pelbagai kehebatan pakar perubatan silam telah diceritakan oleh beliau. Antara pakar perubatan silam ialah Ibnu Sina, al-Razi dan ramai lagi yang harus kita kenali. Ini kerana kehebatan pakar perubatan dari golongan muslim telah sekelian lama wujud sedangkan kita lebih mengenali pakar perubatan barat.
shattirs : Alhamdulillah perjalanan EMINENT'10 berjalan dengan baik dan lancar ~
Sumber : http://edpmt.org
Brought to you by : shattirs
No comments:
Post a Comment