Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Saturday, November 13, 2010

KALKULATOR CINTA

Oleh : UMMU HUSNA [isteri Us Zaharuddin Abd Rahman]


Dalam duduk bersendiri melayan mata yang belum mengantuk malam tadi, hati saya berbisik sendiri.

Berulangkali.

Membaca beberapa komen teman-teman lewat status saya di fb, semakin menambah kekuatan saya berimaginasi.

Angan-angan saya, alangkah baiknya, jika ada satu alat yang berfungsi seperti sebuah mesin kira-kira, yang boleh digunakan untuk aktiviti tambah, tolak, darab dan bahagi. Cuma kelainannya ialah subjek yang dihitung bukanlah satu benda, tetapi adalah sebuah cinta.

‘Kalkulator cinta’.**

Saya cuba membayang-bayangkan aplikasinya.

Andai seorang suami melafazkan puji-pujian kepada isteri tersayang, disertai ucapan, I love you my dear, maka aktiviti tambah akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, ucapan cinta menambah bahagia, membuatkan seorang isteri rasa dikasihi dan dihargai.

‘Suami, ucapan cinta, romantik + CINTA = isteri gembira = rasa bahagia.

Saya berangan-angan lagi.

Andai seorang suami menegur gaya berpakaian isteri sebelum keluar membeli di pasar tani dengan kata-kata : ‘Cantiknya awak hari ni! Macam nak pergi mengurat mamat benggali!’. Maka aktiviti tolak akan berlaku kepada kalkulator cinta mereka. Ini kerana, kata-kata yang kasar amat dibenci oleh seorang isteri, walaupun teguran yang diberi adalah benar demi kasih dan cinta suami kepada isteri.

‘Suami, sindir, perli – CINTA = isteri terasa hati = masam mencuka wajahnya sehari.


HATI SEORANG ISTERI
Saya sebenarnya tidaklah terlalu serius memikirkan keperluan wujud atau tidak alat sedemikian. Sekadar berfikir separa santai dalam menanggapi sekian banyak kemelut rumahtangga yang berlaku hari ini.

Salah satu darinya diutarakan melalui ruangan komentar pada artikel, JANGAN BERHENTI BERKENALAN : Renungan buat suami dan isteri. Beliau yang menamakan diri sebagai Lynn meluahkan isi hati :

“Saya suka membaca perkongsian ini. Saya sedang menghadapi kemelut rumahtangga.Sudah sekian lama berkahwin (hampir 5 tahun), suami tidak pernah memujuk, berbual, berkomunikasi (hanya bila mahukan hubungan intim) malah tidak pernah memberitahu apa yang disukai atau apa yang tidak disukai.

Saya bagai hidup dengan ‘stranger’ setiap hari saya menangis mengenangkan hal ini. Saya tidak mahu ‘selfish’, anak saya sudah 3 orang walau saya masih muda (belum menjangkau 30 tahun). Saya sayangkan rumahtangga ini dan anak-anak, cuma sedih kerana rasa langsung tidak dihargai kecuali bila suami mahukan hubungan intim. Saya bukan wanita berkerja, saya korbankan karier untuk mencurahkan sepenuh perhatian kepada suami dan anak-anak. Dunia saya hanya suami dan anak-anak. Bila jadi begini, saya rasa amat tertekan dan rasa ‘useless’. Apa yg patut saya buat/fikirkan?

Banyak kali saya berbincang dengan suami namun jawapan yang diberikan hanya 1 :

"Maaf abang tak tahu nak cakap apa.”

Saya sangat kecewa. Saya tak pernah berhenti berdoa dengan harapan suami akan menyayangi saya.

Saya pernah suarakan, jika suami mempunyai kekasih hati/pilihan lain saya izinkan dia berkahwin. Mungkin suami akan berubah kepada yang lebih baik dengan cara ini tapi tiada jawapan dari suami dan hubungan kami berterusan hambar beku seperti ini.

Harap ustazah sudi memberikan pandangan.


WANITA DAN KATA-KATA CINTA
Saya bersimpati dengan kemelut perasaan yang sedang dihadapi oleh Puan Lynn. Sebagai seorang wanita, saya maklum, belaian jiwa dari seorang suami yang dijelmakan melalui kata-kata seperti ucapan sayang, bicara yang lembut, mahupun sekadar lafaz terima kasih, banyak memberi kesan dan ransangan yang positif terhadap keutuhan rumahtangga yang dibina.

Isteri mana yang tidak bahagia dengan kata-kata yang menggambarkan penghargaan dari suami tercinta. Sesaat lafaz sayang diperdengarkan, sudah cukup meredakan keletihan isteri berbakti untuk anak-anak dan suami. Sepatah ucapan terima kasih diberikan, sudah cukup menjadi penawar yang meredakan resah isteri berdepan rutin yang sama di kebanyakan hari.

Hanya semudah itu, seorang suami dapat mengungguli emosi isteri yang dikasihi. Ia tidak banyak memakan masa, menagih kudrat dan tenaga dan tidak juga menelan belanja yang tidak terjangka nilainya.

Cukup hanya sekadar kata-kata mesra.

Namun begitu, sebagaimana kata-kata yang saya titipkan di laman fb, sebagai peringatan kepada teman-teman, juga untuk tatapan dan renungan diri sendiri, saya menukilkan :

“ALLAH SWT tidak memberikan semua yang kita inginkan, tetapi DIA memberi apa yang kita perlukan.”

Saya akur, bukan semua wanita, bertuah dapat menikahi jejaka yang ‘cukup’ serba serbi. Seorang yang soleh dan bertaqwa, pandai pula berlawak jenaka, mahir memikat dengan aksi dan gaya yang menambat sukma, juga bertanggungjawab terhadap anak dan isteri di bawah seliaannya.

Tidak semua lelaki memiliki pakej lengkap sebegini!

Kerana itu, saya melontarkan satu persoalan :

“…antara suami yang romantik dan bertanggungjawab, yang manakah menjadi dambaan?”


IF MAN COULD TALK
Demikian satu judul buku yang dikarang oleh, Dr Alon Gratch, seorang pakar psikologi klinikal dan juga seorang pensyarah di dalam bidangnya. Beliau banyak menulis untuk pelbagai penerbitan termasuk New York Times dan Wall Street Journal.

Manurut Dr Gratch, lelaki bukan tidak boleh berbicara, hanya saja mereka lebih mudah berkata-kata dengan bahasa yang berbeza. Tidak sebagaimana kaum perempuan, yang umumnya terbuka dengan perasaan mereka, kebanyakan lelaki merasa sangat sulit untuk ‘membuka’ diri untuk orang lain. Oleh sebab itu, pada dasarnya, kaum lelaki sering terlihat jauh dan terasing serta sukar difahami, atau dalam banyak keadaan, agak keras dan menjengkelkan.

Oleh kerana itu juga, lelaki lebih mudah mewakilkan luahan kasihnya melalui sejambak bunga, atau paling tidak mereka akan memilih sekeping kad yang telah dipenuhi dengan berbaris ayat dan madah pujangga supaya ruang untuk mereka menulis menjadi lebih terhad dan tidak terlalu luas.

Justeru, saya berpandangan bahawa seorang isteri yang sentiasa menginginkan kebahagiaan dan ketenangan di dalam rumahtangganya pasti akan berusaha mengerti, meneliti secara jujur dan yakin diri bahawa tanda-tanda cinta seorang suami terhadap isteri ada pelbagai sudut dan segi.

Kasih sayang seorang suami bukan hanya boleh dinilai dengan kata-kata cinta dan ucapan mesra semata-mata ( verbal ), akan tetapi lebih penting dari itu ia harus dibuktikan melalui perbuatan dan tingkahlaku ( non-verbal ).

Kasih sayang, sama ada ia boleh diimplimentasikan dengan kalimah indah dan menyejuk jiwa, ia juga boleh dijelmakan dari perilaku yang baik, pandangan yang mendamaikan, juga sentuhan dan belas ihsan. Dan yang paling utama, peranan dan tugasnya sebagai ketua keluarga telah dilaksana sebaik-baiknya.

Walau tanpa bicara, ia cuba untuk menterjemahkan perasaan dalamannya yang dipenuhi rasa cinta dan kasih mesra terhadap isteri dan cahaya matanya dengan cara yang diyakininya. Sungguhpun cara ini mungkin kelihatan agak sederhana pada penilaian ramai wanita, tetapi ia tetap bernilai secara makna, lebih-lebih lagi kepada sebuah institusi keluarga.

Justeru itu, pandanglah keadaan ‘tanpa suaranya’ ini sebagai satu kelebihan, kerana seorang suami yang memiliki upaya sebegini adalah seorang suami yang punya keistimewaan tersendiri. Dia sebenarnya seorang yang penyayang tetapi kasihnya ditunjukkan dalam diam. Tanpa bicara, tidak melalui kata-kata.


BAHASA TUBUH RASUL JUNJUNGAN
Rasulullah SAW sendiri sebagai contoh tauladan terbaik seorang suami yang menyintai dan menghargai isteri, banyak menunjukkan kasih sayangnya dalam bentuk non-verbal ini. Situasi ini dapat dilihat dari sekian banyak hadis-hadis baginda, di antaranya :

1. Bersegera menemui isteri jika tergoda. Dari Jabir, sesungguhnya Nabi SAW pernah melihat seorang wanita, lalu baginda masuk ke tempat Zainab, lantas baginda menumpahkan keinginan baginda kepadanya. Setelah itu, baginda keluar dan bersabda : “Bila seseorang di antara kamu melihat seorang wanita yang menarik, hendaklah ia mendatangi isterinya, kerana pada diri isterinya itu ada hal yang sama dengan yang ada pada wanita tersebut." ( Hadis riwayat Tirmidzi )

2. Bergiliran minum pada tempat yang sama. Dari 'Aisyah r.a, dia berkata : "Aku biasa minum dari cawan yang sama ketika haid, lalu Nabi mengambil cawan tersebut dan meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulutku, lalu baginda minum, kemudian aku mengambil cawan, lalu aku menghirup isinya, kemudian baginda mengambilnya dariku, lalu baginda meletakkan mulutnya pada tempat aku meletakkan mulutku, lalu baginda pun menghirupnya." ( Hadis riwayat 'Abdurrazaq dan Sa'id bin
Manshur)

Hadis-hadis di atas menggambarkan betapa indah kemesraan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada isteri baginda, sekaligus menyatakan bahawa Islam sangat mementingkan komunikasi non-verbal ini, kerana sememangnya bahasa tubuh, dalam banyak situasi dan kondisi, lebih efektif menyatakan cinta dan kasih sayang antara suami isteri.


PRO-AKTIF
Saya bersetuju, andai menginginkan suami romantik, tidak salah jika isteri yang memulakan langkah pertama. Bersikap pro-aktif dalam persoalan rumahtangga dan kebahagiaan ikatan perkahwinan tidak akan merugikan pihak isteri. Sebaliknya, bak kata pepatah Inggeris :

‘What you give, you get back’.

Dengan senyuman yang manja, sentuhan yang lembut diiringi tutur kata yang sopan bersahaja, pasti dapat menjadi pemangkin buat seorang suami yang pendiam untuk berbicara sepatah dua.

Walau masa yang diambil, mungkin bertahun lamanya, namun usaha yang ikhlas kerana ALLAH, demi kelansungan ikatan perkahwinan dan keharmonian rumahtangga, pasti akan beroleh bantuan dari Yang Maha Esa. Memang tidak mudah, tetapi dengan kesabaran dan mujahadah beserta penyerahan yang tuntas kepada ALLAH, segalanya impian akan menjadi nyata, InsyaALLAH.

Ini sifir yang saya yakini ketepatannya.

Selebihnya, mungkin perkongsian pengalaman dari dua wanita ini, dapat membuka mata dan hati wanita lain yang membaca.

Itu harapan saya.


KALKULATOR CINTA
Akhirnya, buat Puan Lynn dan para isteri di luar sana, saya suka berkongsi beberapa ayat yang sangat memberi kesan kepada diri ini untuk terus memuhasabah sikap, tindakan dan perlakuan saya sehari-hari, terutama dalam menunaikan hak suami dan pelaksanaan tanggungjawab sebagai isteri.

Firman ALLAH SWT :

وَنَضَعُ الْمَوَازِينَ الْقِسْطَ لِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا وَكَفَى بِنَا حَاسِبِينَ

Maksudnya : “Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang barang sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun pasti Kami mendatangkan (pahala) nya. Dan cukuplah Kami sebagai Pembuat perhitungan.” ( Surah al Anbiya’ ayat 47 )


Maksudnya : ”Dan tiap-tiap manusia itu telah Kami tetapkan amal perbuatannya (sebagaimana tetapnya kalung) pada lehernya. Dan Kami keluarkan baginya pada hari kiamat sebuah kitab yang dijumpainya terbuka.” ( Surah al-Israa ayat 13 )

اقْرَأْ كَتَابَكَ كَفَى بِنَفْسِكَ الْيَوْمَ عَلَيْكَ حَسِيبًا

Maksudnya : "Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada waktu ini sebagai penghisab terhadapmu." ( Surah al-Israa ayat 14 )

Saya mengakhiri coretan di ruang fb dengan komen balas berisi sedikit renungan buat diri sendiri dan teman-teman :

“Dalam mempersoalkan tentang hak, adalah lebih baik kita ( isteri ) bertanyakan diri tentang tanggungjawab yang kita telah, sedang dan akan berikan buat yang berhak ( suami).

Fokus kepada apa yang kita perlu buat sebagai seorang isteri dari menumpukan kepada apa yang kita patut dapat dari seorang suami.

Bimbangnya diri ini, andai di akhirat nanti, kita menjadi musuh kepada diri sendiri atas kecuaian dan kelalaian sebagai isteri ketika hayat di dunia ini.”


Realitinya, kalkulator cinta suami isteri di dalam Islam tidak berkisar sekadar luahan cinta dan kata-kata yang indah membelai jiwa semata. Ia tidak terhenti hanya pada kiraan secara lahiriah dan fizikal sahaja, tetapi ukuran cinta yang hakiki adalah berlandaskan taqwa, ikhlas dan menuruti sunnah Nabi yang diperakui Ilahi. Keredhaan ALLAH, matlamat utama cinta mereka. Walau sekecil apa pun usaha yang dilakukan demi menjamin ikatan yang ada tidak terlerai dan bubar, ia pasti diberikan ganjaran setimpal oleh Yang Maha Esa.


Ya Allah, Engkau mengetahui bahwa hati-hati ini telah berhimpun dalam cinta
pada-Mu, telah berjumpa pada menunaikan ketaatan pada-Mu, telah bersatu dalam
berdakwah untuk kembali pada-Mu, telah berpadu dalam membela syariat-Mu.
Kukuhkanlah ya Allah ikatannya. Kekalkanlah cintanya. Tunjukilah jalan-jalannya.
Penuhilah hati-hati ini dengan nur-Mu yang tidak pernah pudar. Lapangkanlah
dada-dada kami dengan limpahan keimanan kepada-Mu dan keindahan bertawakal di
jalan-Mu.


Ameen ya rabbal alamin.


Mencari dan terus mencari cinta ILAHI.

No comments: