PELBAGAI masalah sosial dan moral yang melanda umat Islam, terutama berbangsa Melayu masa kini amat membimbangkan. Lagi memalukan. Kita khuatir kerana masalah yang bertimpa-timpa ini berupaya menjejas usaha menyeluruh untuk meningkatkan kesejahteraan masa depan ummah.
Kadar perceraian terus tinggi, terutama dalam kalangan pasangan muda. Kes sumbang mahram pula seolah-olah menjadi perkara biasa. Pergaulan bebas anak muda sering mengakibatkan mereka terjebak dalam gejala seks bebas. Ramai yang hamil di luar nikah. Trend ini mengakibatkan pengguguran janin atau membuang bayi yang baru lahir.Senario muram ini mengundang pelbagai respons.Ada yang beranggapan masalah sosial ini sudah dijangka ekoran pendedahan pelbagai pengaruh negatif dari luar.
Apa yang mungkin boleh dilakukan ialah bersikap bijak dan bertindak berhati-hati. Para ulama pula berpendapat gejala ini berlaku kerana kurang penghayatan agama dan terlanjur dek nafsu duniawi semata.Lantaran itu, kian banyak kelas agama dianjurkan, baik oleh pihak masjid mahupun pihak-pihak yang yang berasa sama-sama bertanggungjawab menangani masalah yang semakin membingungkan ini.
Selain para ulama, para pendakwah ‘kian cergas’ mengupas isu sosial seperti panduan perkahwinan, kekeluargaan, dan persoalan berkaitan dengan pergaulan remaja dari sudut Islam, motivasi diri, dan lain-lain sama ada secara percuma mahupun berbayar.Bagi ahli politik pula, lain pula analisis dan dignosis mereka. Ada berpendapat adalah sukar menangani, apatah lagi menolak, serangan gelombang pengaruh luar, termasuk dari Barat. Jalan yang lebih realistik, menurut mereka, adalah menyediakan huraian bagi setiap masalah yang timbul. Usah melawan arus deras yang hanya akan menghanyutkan kita. Lantaran itu, pendekatannya lebih kepada mencari laluan yang boleh meminimumkan kesan buruk.
Misalnya, bagi mengelakkan kadar perceraian tinggi pasangan baru, dicadangkan kenaikan umur minimum perkahwinan. Dalam menangani gejala seks remaja pula, kempen pendidikan awam dilancarkan supaya anak muda sedar akan bahaya seks rambang dan berhenti melakukannya sama sekali. Bagi remaja hamil di luar nikah, disarankan supaya mereka dilindungi termasuk menyediakan perlindungan sehingga dapat berdikari.Inilah pendekatan pragmatik dalam menghurai masalah sosial dan moral itu.
Tetapi apakah ini berkesan?Sedang masalah sosiomoral terdahulu belum merudum, terpapar pula masalah yang baru semakin serius dan mencabar. Akibatnya, akan muncul pandangan fatalistik terhadap masalah tersebut yang akan ‘berjalan seiringan’ bersama kita sebagai risiko dalam kehidupan. Jadi, apakah masyarakat kita akan selamanya menjadi hamba kepada tekanan keadaan?
Malah, walaupun ‘petugas-petugas agama’ kian aktif, masalah sosial dan moral masih belum reda. Pendekatan pragmatik menaikkan umur minimum pasangan yang hendak berkahwin tampak mudah. Tetapi ia akan hanya ´menangguhkan´ perceraian kalangan pasangan baru, bukannya jaminan dapat mengurangkannya. Apakah ada ´seks selamat´ berbanding perkahwinan yang sah?Barangkali, pendekatan masyarakat sedemikian lama bersifat sekadar ‘melawan kebakaran’ (fire fighting), bukan mengatasi punca kebakaran itu sendiri? Adakah yang dinilai masalah sekarang ini berupa gejala atau simptom penyakit yang harus diubati?
Memang bukan mudah menjawabnya.Mungkin kita perlu meninjau semula persoalan ini dengan cuba menggariskan apakah masalah sebenar kepada keprihatinan yang timbul daripada masalah sosial dan moral yang dibincangkan ini.Antara lain kita boleh menggalurkannya seperti yang berikut:- Perpecahan keluarga - gambaran kian kurangnya penghayatan kepada makna dan kesucian institusi keluarga. - Seks remaja - gambaran tuntutan remaja yang mahukan kebebasan dan enggan dikongkong peraturan sosial. - Pengguguran janin dan pembuangan bayi - gambaran pandangan rendah terhadap tugas keibuan dalam konteks kehidupan perkahwinan dan kehidupan berkeluarga. - Hubungan seks bebas - gambaran mahukan layanan setara lelaki dan wanita. Wanita mahukan haknya dan menolak sistem mengutamakan lelaki (patriak). Jika analisis ini benar, semua unsur itu menampakkan wujudnya gejala feminisme - amalan falsafah yang memperjuangkan hak wanita menurut pengalaman pascamoden di Barat.
Apakah kita sebenarnya terperangkap dek amalan feminisme yang menjadi punca masalah sosial dan moral kini?Menyusuri sejarah, feminisme (penggeraknya dipanggil feminis) merupakan ‘gerakan luhur’ di Barat. Tujuannya membela hak wanita dari segi undang-undang, pendidikan, pekerjaan, dan seumpamanya setaraf dengan kaum lelaki.Antara lain, fahaman ini diterjemahkan dalam bentuk hak mengundi bagi wanita, kesaksamaan hak wanita dan lelaki di sisi undang-undang, pemilikan harta, perkahwinan dan apabila bercerai, penjagaan anak-anak, hak untuk mendapat pendidikan, dan sebagainya.Dengan peredaran masa, gerakan tersebut berubah menjadi perjuangan untuk membebaskan wanita daripada tekanan prejudis ke atas wanita oleh kaum lelaki (ending of sexist oppression). Lama-kelamaan, feminisme menjadi fahaman politik - memperkasa wanita daripada penguasaan lelaki. Ia merubah definisi dan amalan kekeluargaan daripada institusi suci kepada yang diremehkan.Menurut feminisme:- Keluarga hanyalah sebuah unit asas yang dibentuk masyarakat bagi membolehkan penguasaan lelaki ke atas wanita dan anak-anak.
Tujuannya untuk mengukuhkan sistem kebapaan (patriak) dalam masyarakat dan dalam negara. - Institusi keibuan merupakan punca tekanan ke atas wanita, manakala tugas melahirkan anak adalah satu penghinaan. - Gender (pembahagian jantina) adalah satu kebiasaan budaya, yakni sesuatu yang dicipta dalam kehidupan masyarakat. - Bagi pembebasan wanita, perlu wujud revolusi biologi menerusi teknologi. - Revolusi seksual dengan kebebasan mutlak untuk melakukan hubungan seksualiti dan untuk kelahiran adalah perlu bagi pembangunan wanita. - Kekeluargaan dan keibuan adalah institusi politik (sesuatu yang dipaksakan atas dasar kuasa bukan sebab-sebab lain seperti sosial, biologi atau agama). Sampai-sampai feminisme telah menganggap semua bentuk penyimpangan seksual seperti homoseksualiti, lesbianisme, dan transeksualiti harus diterima sebagai sesuatu yang normal. Malah, ada idea feminisme yang ekstrem, yang sampai kepada menganjurkan hak seksual dan kelahiran harus mencakupi kebebasan hubungan seksual tanpa perlu melalui ikatan perkahwinan dan keluarga.
Mungkin tiada seorang pun daripada kalangan anggota masyarakat kita yang terjebak dalam masalah sosiomoral itu menyedari dipengaruhi gejala falsafah feminisme. Ini kerana gerakan feminisme di sini tidak cukup ampuh berbanding di Barat. Namun, ciri-ciri masalah sosiomoral di sini kian serupa kesan feminisme.Penglibatan dalam seks bebas, misalnya, sering didorong sifat mahukan kebebasan mutlak. Ini menunjukkan gejala terhakisnya penerimaan perkahwinan dan pembentukan keluarga sebagai institusi sosial yang suci.Kadar perceraian yang tinggi dan seks di luar nikah juga mencerminkan kesan feminisme.Kita perlu memikirkan isu ini dengan serius dan sanggup bekerja keras membetulkan pengambilan nilai dan falsafah yang salah lagi bercanggah dengan teras Islam dan ketimuran. Banyak kaunselor dan ‘agamawan’ diperlukan dalam menangkis pengaruh negatif. Terlebih dulu, mereka perlu mempertingkat ilmu dan kemahiran dalam menangani serangan nilai dan falsafah sekular seperti feminisme.Bagaimanapun, kita perlu membina cara yang meyakinkan dalam menghuraikan masalah.
Bukan bilangan program agama yang menjadi ukuran penting, tetapi yang lebih utama ialah isi dan penyampaian yang berkesan.Para pendakwah atau ‘petugas-petugas agama’ perlu menguasai ‘ilmu moden’, terutama yang berkaitan dengan sosiologi dan antropologi, juga psikologi – bukan semata-mata bersandar kepada pengetahuan ilmu agama. Pendekatan yang dianggap pragmatik juga perlu diteliti supaya tidak menimbulkan kecelaruan - antara nilai sekular dengan agama. Namun, berapa ramai di antara kita yang dapat membezakan kedua-duanya itu secara jelas dan dapat pula memberi kefahaman yang jitu kepada orang lain?
Brought to you by : shattirs
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment