Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Tuesday, September 4, 2007

Kelebihan Bulan Ramadhan


Amalan-amalan utama dan besar pahalanya di bulan Ramadhan


Supaya kita dapat memasuki bulan Ramadhan dengan penuh bersedia untuk memperbanyakkan amalan di bulan keberkatan yang banyak kelebihannya itu, kita hendaklah mengetahui apakah amal-amal ibadah atau amal-amal kebaikan yang digalakkan oleh Allah dalam bulan Ramadhan di mana pahalanya amatlah besar dan berlipat-ganda. Antara amalan-amalan utama di bulan Ramadhan dapat kita senaraikan seperti berikut;

1) Berpuasa dengan sesungguh hati

Sabda Rasulullah s.a.w.;

مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيْمَانَاً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
“Sesiapa mengerjakan puasa Ramadhan kerana imannya (kepada Allah) dan mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan untuknya segala dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud; “Setiap amalan anak Adam akan digandakan di mana satu amalan kebaikan akan digandakan sebanyak sepuluh hingga 700 kali ganda, kecuali puasa. Allah berkata; ‘Puasa itu untukKu, maka Aku sendiri yang akan menentukan pahalanya. Ia (yakni orang yang berpuasa itu) meninggalkan syahwatnya dan makanannya dengan sebabKu’. Bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya nanti. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari bau kasturi”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)




2) Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan solat sunat (terawikh, tahajjud dan sebagainya)

Sabda Rasulullah s.a.w.;

مَنْ قَاْمَ رَمَضَاْنَ إِيْمَاناً وَاحْتِسَاْباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبـِهِ
“Sesiapa bangun (untuk beribadah) pada malam-malam Ramadhan kerana imannya kepada Allah dan kerana mengharapkan pahala dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Menurut Imam an-Nawawi, yang dimaksudkan dengan Qiyam Ramadhan dalam hadis di atas ialah solat Terawikh. Namun ada ulama’ yang memberi makna yang umum iaitu segala solat sunat yang dilakukan untuk menghidupkan malam iaitulah qiyamullail. Jadi mengikut pandangan kedua ini termasuk di dalam Qiyam-Ramadhan itu; solat Terawikh, solat Tahajjud, solat Taubah dan sebagainya. (Rujuk; Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi dan Raudhatul-Muttaqien syarh Riyadhus-Salihin)

3) Menggiatkan ibadah di sepuluh malam terakhir ramadhan

Terdapat hadis di mana Saidatina ‘Aisyah menceritakan;

كَاْنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرَ الأَوَاْخِرَ مِنْ رَمَضَاْنَ أَحْيَا اللَّيْلَ، وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ، وَجَدَّ وَشَدَّ الْمِئْزَرَ
“Rasulullah s.a.w. apabila masuk sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, baginda bangun menghidupkan malamnya (dengan ibadah lebih dari biasa), membangunkan ahli-ahli keluarga baginda (untuk sama mengerjakan ibadah seperti baginda), baginda bersungguh-bersungguh (mengerjakan ibadah) dan baginda mengikat kainnya (*kiasan kepada kesungguhan untuk beribadah atau kiasan kepada meninggalkan isteri untuk menumpukan kepada ibadah)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat yang lain, Saidatina ‘Aisyah menceritakan; “Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan melebihi ibadahnya pada malam-malam yang lain”. (Riwayat oleh Imam Muslim)

4) Beriktikaf

Di antara Ibadah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. di bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh hari terakhirnya ialah iktikaf. Saidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan;

أَنَّ النَّبِيَّ -صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ، حَتَّىَ تَوَفَّاهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ، ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
“Rasulullah s.a.w. beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan hingga ia meninggal dunia. Kemudian isteri-isteri baginda meneruskan iktikaf selepas kewafatan baginda”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Iktikaf bermaksud menetap di dalam masjid dengan niat ibadah. Syaratnya ada tiga iaitu;
Pertama: Berniat iktikaf (yakni berniat untuk tinggal/berdiam di dalam masjid dalam tempoh tertentu dengan tujuan ibadah bagi melaksanakan sunnah Nabi s.a.w.)
Kedua: Menetap/tinggal di dalam masjid dalam tempoh tertentu yang dapat dianggap pada uruf bahawa seseorang itu beriktikaf atau duduk diam di dalam masjid.
Ketiga: Seorang yang beriktikaf pula disyaratkan hendaklah seorang muslim, berakal sihat dan suci dari haid, nifas dan janabah.
(Rujuk: al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafi’ie, jil. 2)

Beriktikaf hukumnya adalah sunat pada setiap waktu dan lebih disunatkan lagi pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan kerana di antara malam-malam tersebut terdapatnya lailatul-Qadar atau malam al-Qadar. Menurut ulama’, beriktikaf pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan hukumnya adalah sunat muakkad (yakni sunat yang amat-amat disuruh).
(Rujuk: Raudhatul-Muttaqien syarh Riyadhus-Salihin, jil. 3, kitab al-I’tikaf)


5) Mencari malam al-Qadar (lailatul Qadar)

Firman Allah menjelaskan kelebihan malam al-Qadar (lailatul-Qadar);

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan”. (al-Qadar: 3)

Menurut kebanyakan ahli Tafsir, ayat ini memberi pengertian kepada kita bahawa beramal pada malam al-Qadar atau lailatul-Qadar lebih baik dari beramal selama 1000 bulan yang tidak ada lailatul-Qadar (malam al-Qadar) di dalamnya.
(Rujuk: al-Asas fi at-tafsir, Said Hawa, surah al-Qadr)

Sabda Rasulullah s.a.w.;

من قَامَ لَيلَةَ القَدرِ إِيماناً واحتِسَاباً غُفِرَ لَهُ ما تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِِهِ
“Sesiapa bangun (untuk mengerjakan ibadah) pada malam al-Qadar kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan ganjaran dariNya, akan diampunkan dosanya yang lalu”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Menurut penjelasan beberapa hadis Rasulullah s.a.w., lalilatul-Qadar ini terdapat di sepuluh malam terakhir Ramadhan iaitu pada malam-malam ganjil darinya. Kerana itulah, Rasulullah menggiatkan ibadahnya pada malam-malam tersebut termasuklah beriktikaf di masjid sebagaimana yang telah kita jelas tadi. Sabda baginda;

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
“Carilah lailatul-Qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Saidatina Aisyah r.a.)

تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنَ الْعَشْرِ الأَوَاْخِرِ مِنْ رَمَضَاْنَ
“Carilah lailatul-Qadar pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan”. (Riwayat Imam Bukhari)

Menurut ulama’, sekurang-kurangnya qiyam lailatil-Qadr (yakni bangun mengerjakan ibadah pada malam al-Qadar untuk mendapatkan kelebihannya) ialah dengan seseorang itu menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjamaah. Ini kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam satu hadisnya;

مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْل، وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ
“Sesiapa menunaikan solat Isyak berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail separuh malam. Dan sesiapa menunaikan solat subuh berjamaah, maka ia seolah-olah bangun berqiyamullail keseluruhan malam”. (Riwayat Imam Muslim dari Ustman r.a.)

Namun demikian, yang paling sempurna ialah dengan memenuhi keseluruhan malam atau sebahagian besarnya dengan solat, bacaan al-Quran, zikir atau seumpamanya dari jenis-jenis ketaatan.(Rujuk: at-Tajul Jami’ Lil-Ushul, Syeikh Manshur ‘Ali Nashif, jil. 2, hlm. 80)

Brought to you by : shattirs

No comments: