Keluarga SHATTIRS

Keluarga SHATTIRS
Assalamualaikum WBT

SHATTIRS Followers

Popular Posts

Monday, August 20, 2007

Harapan Sempena Kemerdekaan Negara Yang Ke 50 tahun


Oleh: Mohd Helmi Che Fauzi ,Al-Azhar ,Tanta

Assalamualaikum

Kebiasaanya kita akan melihat pelbagai upacara yang bakal dijelmakan bersempena negara kita akan menyambut ulang tahun ke-50 kemerdekaan dan kita perhatikan Jalur Gemilang mula dikibarkan sebagai tanda semangat cintakan negara. Jika kita hayati sebaik mungkin, usia 50 tahun adalah usia yang melebihi usia matang,sudah pastinya usia begini penuh dengan suka dan dukanya dengan pelbagai pengalaman pahit dan manis yang telah terangkum.Apakah di usia begini pun,negara masih belum merasai nikmat kematangan rakyatnya.

Pelbagai sudut mahupun aspek dapat kita lihat,contohnya dari segi material, kita dapat lihat dengan jelas negara kita begitu pesat membangun dibandingkan dengan pencapaian sebelum kemerdekaan. Di bumi kitalah tersergam menara yang pernah menjadi bangunan tertinggi dunia, litar formula satu bertaraf antarabangsa, lapangan terbang termoden di dunia dan pelbagai lagi contoh yang menunjukkan kepesatan pembangunan negara berbanding semasa era negara dijajah suatu ketika dahulu.Tetapi adakah kita menyedari akan hakikat ini?

Saban hari kita sebagai rakyat Malaysia dapat melihat khususnya golongan pemuda dan pemudi harapan negara hari ini mengalami krisis jati diri yang amat membimbangkan. Dalam erti kata lain, kita hanya mencapai kemerdekaan dari segi fizikal semata-mata. Kita terlalu dhaif dan serba lemah menghayati erti kemerdekaan dalam erti kata sebenar. Antara perkara yang paling ketara ialah penjajahan budaya dan prinsip hedonisme yang semakin menyelinap masuk ke dalam masyarakat kita,yang sedia kita maklumi bahawa unsur sebeginilah yang merosakkan nilai umum masyarakat dan perpaduan kaum di Malaysia.

Semangat cintakan tanah air perlu wujud dalam diri individu setiap masa dan diterjemahkan dalam bentuk tingkah laku yang selari dengan rasa kecintaan itu.Kecintaan yang dimaksudkan disini ialah kecintaan yang bersifat spritual yakni kecintaan pada negara melebihi kecintaan pada diri sendiri.Semangat cintakan negara boleh menjadi satu aset utama mana-mana masyarakat atau negara. Rasa cintakan tanah air adalah kuasa yang kuat menyatukan rakyat sesuatu bangsa untuk menghalang sebarang serangan ancaman luar dalam apa juga bentuk.

Oleh itu, seorang yang bersifat patriotik ialah individu yang cintakan negaranya dan bersedia berkhidmat dan mempertahankan negara daripada segala ancaman yang boleh menjatuhkan maruah bangsa dan negaranya.Kita sedih dn kecewa dengan apa yang berlaku mutakhir ini,bagaimana seorang rakyat yang tidak ada semangat kecintaan pada negara dan semangat kesetiaan telah mencemarkan maruah bangsa melayu dan negara Malaysia amnya.Inilah natijahnya sekiranya kita sebagai rakyat Malaysia tidak menghayati hakikat sebenar Kemerdekaan Negara yang bakal di sambut penghujung bulan ini.

Umum mengehtahui, dengan menjadikan keseronokan sebagai matlamat utama dalam kehidupan, generasi muda semakin hari semakin alpa dan leka. Sebagai contoh, penganjuran konsert Gwen Stefani yang dijadualkan bersempena dengan bulan kemerdekaan ini, pada hemat saya adalah tidak sesuai dan bertentangan dengan budaya dan adat ketimuran masyarakat kita.
Adakah kita akan melihat generasi harapan negara ini akan hilang jati dirinya.Sebaliknya, apa yang kita perlu lakukan ialah menyediakan agenda sesuai dan bertepatan, terutama dalam melestarikan sahsiah dan identiti generasi muda. Semua pihak perlu berganding bahu dalam memastikan kemajuan negara bergerak seiring dengan pembangunan moral yang baik.

Tiada gunanya jika kita begitu berbangga dengan segala bentuk kemodenan dan kecanggihan yang dicapai, tetapi kita sebenarnya miskin dari segi akhlak dan hati budi.Dalam pada memperingati 50 tahun kemerdekaan negara, kita hendaklah mengimbas kembali segala usaha dalam pembinaan negara pada zaman silam dan bersedia untuk mengharungi cabaran yang akan datang dengan penuh ketabahan. Apalah erti kemerdekaan jika masih banyak lagi rakyat negara ini tidak memahaminya, bahkan ada pula tidak tahu bertutur bahasa kebangsaan.

Sempena sambutan kemerdekaan ulang tahun yang ke 50 ini, marilah kita sama-sama menyambut kemerdekaan dengan rasa nilai keinsafan dan semangat cintakan tanah air. Hargailah dan hayatilah nilai kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya.Kuatkanlah rasa kecintaan pada negara,bangsa dan agama . Kita harus belajar bagaimana menjaga diri, mengekalkan perpaduan yang sedia terjalin dan memaksimumkan pengetahuan agar negara dan masyarakat hidup sempurna,aman dan makmur,insyaAllah.Sesunguhnya tiada nikmat abadi sekiranya keamanan yang dikecapi selama ini tidak dijaga dengan sebaik mungkin serta tidak diterapkan kefahaman Islam yang sempurna.Ingatlah Islam itu memimpin bukannya dipimpin,justeru,komitmen sebagai umat Islam dan warganegara Malaysia amnya perlulah ditadbiqkan dalam sanubari hidup bagi menuju kecemerlangan yang hakiki dan abadi.

Umat Islam perlulah mengembleng segala tenaga serta memasakkan kepelbagaian ilmu pengehtahuan agar kita dapat bersaing dengan bangsa lain di dunia ini.Mudah-mudahan kita semua didalam rahmat dan keampunan Allah.

sekian,wassalam.

brought to you by : shattirs

No comments: